Dakwa Zahid : Langkah Kerajaan PH Untuk Lemahkan UMNO


KUALA LUMPUR, 18 Okt – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Dr. Masliha Harun berkata, sekiranya benar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Zahid Hamidi bakal ditahan SPRM, maka ini adalah langkah kerajaan yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus menekan dan melemahkan UMNO, selepas mantan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak  juga didakwa dengan pelbagai tuduhan sebelum ini.

Jelas beliau, tindakan ini boleh dianggap sebagai satu usaha untuk melemahkan UMNO, juga terus memburukkan UMNO di mata rakyat dengan pelbagai tuduhan di bawah Akta AMLA, yang kini telah dijadikan senjata utama kerajaan untuk menahan dan menekan pemimpin-pemimpin UMNO dan seterusnya ingin memadamkan nama UMNO dalam kancah politik Malaysia.

“Ini juga secara tidak langsung dilihat sebagai usaha awal untuk mengharamkan parti terbesar orang Melayu di negara ini.

“Usaha untuk mengharamkan UMNO ini biarpun tidak ada sebarang kenyataan rasmi di pihak kerajaan, namun ia bukanlah satu rahsia lagi di kalangan ahli politik, bahawa sememangnya wujud usaha ke arah itu.

“Tindakan kerajaan yang berterusan menahan dan mendakwa pemimpin kanan UMNO ini menimbulkan persoalan mengapa hanya UMNO, mengapa ia tidak dibuat secara adil terhadap pemimpin parti-parti lain?,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Masliha yang juga merupakan Ketua Puteri Lembah Pantai, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dilihat tidak adil dan telus apabila pemimpin UMNO terus didakwa tetapi kes pemimpin politik yang sudah dibicarakan di mahkamah, sepertimana kes rasuah pemimpin Dap seperti Lim Guan Eng boleh dibubarkan.

“Begitu juga kes-kes aktivis-aktivis PH yang didakwa sebelum ini secara serta-merta digugurkan kes apabila PH menguasai Kerajaan?

“Apa yang jelas, di sebalik alasan untuk menegakkan prinsip ‘Rule Of Law’, ternyata rakyat boleh terhidu matlamat untuk membalas dendam terhadap kepimpinan tertinggi UMNO yang mana mereka berselindung di sebalik alasan demi alasan.

“Selain AMLA, tindakan menggunakan ROS sebagai alat untuk menghalang pendaftaran UMNO sememangnya adalah satu cara tindakan yang terdesak dan dayus dari pihak PH,” tegas Masliha.

Beliau turut mengecam helah yang digunakan kerajaan baru ini bagi mencari lompong kesalahan UMNO iaitu daripada proses halangan mengadakan mesyuarat hingga menyiapkan laporan borang 9 telah digunakan bagi mencari cacat cela pertubuhan UMNO.

“Persoalannya apakah proses yang sama digunakan terhadap pertubuhan politik lain atau NGO lain seumpamanya? Apakah pertubuhan politik lain seperti DAP, PKR, PAN, WARISAN mahupun PPBM sendiri cukup sempurna dari sudut kehendak atau syarat pertubuhan itu sendiri?

“Apakah ini kerajaan yang melaksanakan prinsip telus, adil dan saksama atas prinsip ‘Rule of Law’ atau ada anasir-anasir jahat yang sememangnya mahu mengharamkan UMNO yang dilihat bukan sahaja masih kukuh dari sudut sokongan akar umbi dan rakyat terutama orang Melayu malah status UMNO itu sendiri sebagai ‘Hung Government’ maka mereka telah tergugat dan goyah?

“Oleh itu marilah kita sebagai rakyat Malaysia sama-sama bangkit menentang segala bentuk penindasan terpilih ini dan terus bersoladariti untuk Presiden parti kita demi kelangsungan UMNO pada masa hadapan,” ujar beliau. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit