Ahli UMNO Diminta Bertenang, Ambil Pendekatan Rasional

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta ahli UMNO dan semua pihak agar bertenang dan mengambil pendekatan rasional dalam berhadapan dengan penahanan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan spekulasi pendakwaan yang berkaitan.

“Saya pasti ahli UMNO dan seluruh rakyat Malaysia mengikut rapat perkembangan berkaitan penahanan Datuk Seri Zahid Hamidi oleh SPRM.

“Saya menyeru agar kita tidak terburu-buru dalam segala kenyataan, tindakan dan perlakuan kita. Kita mesti menghormati pelaksanaan proses undang-undang dan menaruh keyakinan bahawa ia akan dilunaskan dengan cara yang selari dan bersesuaian dengan keluhuran undang-undang dan sifat Malaysia sebagai negara hukum,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, susulan beberapa siri siasatan, wujud spekulasi bahawa Ahmad Zahid akan didakwa tidak lama lagi.

“Sejauh manakah kebenaran dan kesahihan spekulasi tersebut bukanlah sesuatu yang boleh dipastikan pada saat ini.

“Saya dan kepimpinan UMNO percaya perkara ini mesti dilihat secara terbuka dan objektif. Ia tidak seharusnya dispekulasi dan dijadikan modal untuk menabur pelbagai persepsi yang salah dan tidak berasas.

“Apa yang lebih penting, ahli UMNO dan semua pihak mesti bertenang dan mengambil pendekatan rasional dalam berhadapan dengan semua ini,” ujarnya.

Susulan daripada perkembangan ini juga, katanya, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan mengadakan mesyuarat segera untuk membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam.

“Khususnya bagi memutuskan hala tuju dan tindakan selanjutnya. Apa jua keputusan MKT akan menjadi pendirian dan panduan untuk semua ahli parti.

“Yang pasti, saya dan kepimpinan UMNO memberi jaminan bahawa penahanan ini tidak akan melemahkan atau menjadi halangan kepada UMNO untuk meneruskan agenda pemulihan (reform) yang sedang dilakukan di dalam parti.”

Tegasnya, khidmat bakti UMNO kepada rakyat Malaysia juga tidak akan berhenti dan terganggu.

“Saya dan rakan-rakan dalam UMNO ingin menzahirkan sokongan dan setia kawan yang mendalam terhadap Datuk Seri Zahid Hamidi dan keluarganya dalam saat yang mencabar seperti sekarang.

“Insya-Allah, saya pasti akan hadir petunjuk dan kebenaran yang selayaknya dari Allah SWT dalam segala hal yang berlaku ini jika kita bersabar dan bijaksana dalam segala tindakan kita,” katanya lagi – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit