Kekalkan Bantuan Kepada Nelayan Dalam Bajet 2019 – Penentu

KUALA TERENGGANU, 11 Okt – Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu) berharap kerajaan akan mengekalkan semua bantuan kepada golongan itu dalam Bajet 2019 yang akan dibentangkan pada November ini.

Pengerusinya, Mat Yassin Mohamed berkata bantuan kepada nelayan terutama Elaun Sara Hidup (ESH) masih diperlukan golongan itu memandangkan majoriti mereka memperoleh pendapatan bawah RM1,000 setiap bulan.

“Di Terengganu, terdapat 12,000 nelayan dan daripada jumlah itu, 60 peratus hingga 70 peratus adalah nelayan tradisional yang hanya keluar menangkap ikan di pesisir pantai.

“Sepanjang musim tengkujuh pula, nelayan tidak boleh turun ke laut dan hilang mata pencarian, jadi pemberian elaun itu sekurang-kurangnya dapat membantu mereka membeli barangan keperluan asas dapur,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mengikut Jabatan Meteorologi Malaysia, Monsun Timur Laut dijangka melanda Terengganu pada awal atau pertengahan November dan berlanjutan sehingga Februari tahun hadapan.

Mat Yassin berkata sepanjang tempoh itu, kebanyakan nelayan akan membuat kerja sampingan yang lain seperti menjadi kelindan lori, mengambil upah kerja-kerja kampung seperti membaik pulih rumah dan buruh binaan.

“Memang ada sebahagian kecil nelayan yang menerima bantuan lain seperti dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun bagi mereka yang tidak menerima bantuan itu, musim tengkujuh adalah tempoh masa yang sangat sukar untuk mereka lalui.

Setakat ini, terdapat 10 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di Terengganu yang menjaga kebajikan golongan itu iaitu di Besut, Setiu, Kuala Terengganu Utara, Kuala Terengganu Selatan, Marang, Dungun, Paka, Kemasik, Kijal dan Kemaman.

Seorang nelayan, Zamri Abdul Kadir, 48, berkata walaupun cuaca di Terengganu agak buruk ketika ini, nelayan masih mengambil risiko turun menangkap ikan untuk mencari rezeki setiap hari.

“Namun, bantuan yang diberi kerajaan sangat bererti kepada kami dalam meneruskan usaha untuk meningkatkan taraf ekonomi dan sosial keluarga, terutama anak agar dapat keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit