Ekonomi Negara Makin Parah, Apa Lagi Helah Kerajaan, Menteri Kewangan?
KUALA LUMPUR, 9 Okt – Dengan susutnya rizab antarabangsa Malaysia daripada US$110 bilion sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kepada US$103 bilion minggu lalu, adakah kerajaan akan terus menggunakan helah kemerosotan serantau dan dunia kepada isu ini, soal Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Bidas beliau, di manakah pakar ekonomi dan strategis pembangunan yang selama ini membantu kerajaan terdahulu meningkatkan kedudukan ekonomi negara?
“Kita menunggu dengan debaran Bajet 2019 dan langkah-langkah yang bakal diumumkan kerajaan untuk ‘menyahut cabaran’ laporan Bank Dunia, Amundi dan agensi antarabangsa yang lain,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, KDNK negara hampir mencapai 5.9 peratus tahun lalu berbanding 4.2 peratus tahun sebelumnya maka apakah kerajaan mampu mencapai tahap ini?
“Dalam keadaan ini, Menteri Kewangan mesti mempunyai keupayaan menangani situasi ekonomi negara sekarang.
“Kita bimbang oleh kerana kesannya secara langsung akan kepada rakyat, maka saya harap Menteri Kewangan menumpukan tanggungjawabnya menyelesaikan isu melibatkan ekonomi yang dihadapi negara sekarang.”
Ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong, kerajaan mesti segera bertindak ekoran laporan Bank Dunia yang menurunkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau GDP Malaysia daripada 5.4 peratus kepada 4.9 peratus tahun ini.
“Pada mesyuaratnya baru-baru ini, Bank Dunia menyatakan ia banyak berpunca daripada cara ekonomi negara ditadbir, serta pembatalan dan penangguhan banyak projek utama yang membabitkan dana asing. Keadaan ini membimbangkan semua pihak.
“Inilah kali kedua unjuran sebegini dibuat. Kali pertama apabila ia menaikkan unjuran KDNK negara daripada 5.2 peratus kepada 5.4 peratus sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-14.
“Ia bagaimanapun merosot setelah kerajaan baru mengambil keputusan yang kononnya ada kaitan dengan ‘hutang RM1 trilion’ negara, dengan pembatalan projek besar dan penarikan balik banyak tender utama.”
Jelasnya, keadaan bertambah parah apabila, pengumuman Amundi, firma aset terbesar Britain dan paling berpengaruh di dunia, menyatakan bahawa Malaysia adalah antara beberapa negara yang tidak boleh dipercayai hutang luarnya.
“Sehingga ini, Putrajaya yang mengharapkan pinjaman dalam bentuk yen dari Jepun, masih samar-samar dengan kedudukan itu apabila Jepun mula berfikir dua kali untuk menghulurkannya.
“Penarikan keluar dana asing dengan banyak dari syarikat tempatan di Bursa Malaysia, turut mempengaruhi unjuran terbaru Bank Dunia ini.”
Katanya, Ketua Ahli Ekonominya bagi Asia-Pasifik, Sudhir Shetty juga telah menegaskan walaupun kos pembiayaan negara akan berkurangan dengan banyaknya, masanya amatlah tidak sesuai kerana ekonomi Malaysia masih kuat bergantung kepada kemasukan dana dan pelaburan asing.
“Kegoyahan bursa saham, matawang ringgit yang merudum, rejim percukaian yang tidak seragam dan ketidaktentuan ekonomi serantau boleh menjerumuskan ekonomi Malaysia ke situasi yang lebih malap.
“Oleh itu, rakyat pasti ingin tahu dan bertanya apakah bentuk ‘stimulus package’ yang bakal diperkenalkan pada Bajet 2019 dan apakah bentuk sistem penampan yang ada bagi menghadapi isu ekonomi dunia?” soal beliau lagi. – MediaUMNO