Ahli UMNO Diingatkan Untuk Terus Istiqamah Lawan Kezaliman dan Penindasan
KUALA LUMPUR, 8 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan anggota parti agar terus istiqamah menentang kezaliman dan penindasan lantaran pelbagai tekanan dikenakan kepada pemimpin dan ahli-ahli UMNO sekarang ini.
Tegasnya, jangan dijual atau gadai perjuangan dengan harga yang murah, apa lagi untuk undur atau menyerah kalah.
“Kiranya seorang dari kami di saf depan tumbang atau di tawan, pimpinan berikut hendaklah tampil menjulang obor perjuangan… dan kiranya pengganti juga tumbang, hendaklah yang di belakang mara ke depan.
“Dan kiranya perjuangan ini mereka haramkan, jangan sesekali kita menyerah. Perjuangan kerana Allah tidak boleh kalah atau patah. Kita adalah khalifah dan di belakang kita ada sejarah.
“Hunuskan pedang perjuangan walau dengan gigi dan lidah… atau melalui sebatang pena dan jari jemari yg patah…terus berjuang,” katanya yang juga Ahli Parlimen Ketereh menerusi catatan dalam laman facebooknya hari ini.
Dilaporkan UMNO terus mendapat tekanan dengan para pemimpinnya satu persatu dikaitkan ditahan SPRM atau dikaitkan dengan AMLA selain dikatakan bahawa Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga bakal ditahan oleh pihak SPRM dalam tempoh terdekat. – MediaUMNO