UMNO Mahu Ambil Semula Aset-aset UMNO Yang Enggan Dipulangkan
KUALA LUMPUR, 30 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan, ada pemegang-pemegang amanah yang diberikan amanah untuk menjaga aset UMNO bertindak tidak mahu memulangkan semula aset tersebut dan mendakwa aset tersebut adalah milik mereka.
Sehubungan dengan itu menurut Zahid, UMNO telah melantik Bendahari UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor untuk mengetuai tim bagi mendapatkan semula aset-aset UMNO yang dipegang oleh pemegang amanah tersebut melalui jalan undang-undang.
“Ada pemegang amanah yang dilantik dan diberikan kepercayaan oleh Perdana Menteri terdahulu tidak mahu memulangkan aset UMNO itu kembali dan mendakwa bahawa aset itu adalah milik mereka.
“Justeru, kita akan menuntut kembali aset-aset tersebut melalui kaedah perundangan dan Majlis Tertinggi UMNO telah memberikan mandat kepada Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk mendapatkan semula aset-aset tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan penggulungan Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2018 bertempat di Dewan Merdeka PWTC yang berakhir hari ini.
Menurut Zahid lagi, aset-aset UMNO itu dituntut untuk dikembalikan demi kepentingan UMNO dalam keadaan UMNO kini tidak lagi memegang pentadbiran kerajaan dan menjadi pembangkang.
“Kita akan menuntut semula aset-aset tersebut melalui cara perundangan dan segala aset yang berjaya dituntut itu akan kita bentangkan dengan telus kepada semua ahli Majlis Tertinggi UMNO setelah selesai urusan tuntutan tersebut,” jelasnya.
Sementara itu, Zahid juga mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli UMNO dan juga sukarelawan UMNO yang berjuang di media maya bagi mempertahankan perjuangan UMNO tanpa mengharapkan sebarang balasan.
“Saya juga mengharapkan agar lebih ramai ahli-ahli UMNO di peringkaty cawangan dan bahagaian termasuk juga orang-orang Melayu yang secara sukarela untuk membantu UMNO dalam usaha memperkukuhkan parti dan untuk mengembalikan UMNO sebagai kerajaan pada PRU ke 14 ini tanpa mengharapkan sebarang balasan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan-sukarelawan yang berjuang untuk membantu UMNO di media maya selama ini. Kita amat menghargai segala usaha yang mereka lakukan untuk membantu UMNO selama ini,” ujarnya.-MediaUMNO