BN Akan Dijenamakan Semula Dan Kerajaan Menanti
KUALA LUMPUR, 30 Sept – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya berkata sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengumumkan BN akan dijenamakan semula sebaik sahaja perundingan dengan rakan-rakan komponen yang sedia ada selesai dan dimuktamadkan.
Justeru jelas beliau cadangan parti gabungan ini bakal dianggotai dengan entiti-entiti berikut:
i. Parti-parti teras merangkumi UMNO, MCA, MIC, MyPPP, dan PBRS
ii. Parti-parti gabungan lain yang memahami aspirasi dan idealisme perjuangan bersama
iii. Parti politik mesra UMNO yang selama ini banyak membantu dan menyokong
iv. Badan Bukan Kerajaan (NGO)
v. Individu ahli langsung (direct membership) iaitu pendekatan di mana individu boleh menjadi ahli Barisan Nasional tanpa melalui mana-mana parti politik
“Inilah yang akan kita lakukan dalam penjenamaan semula Barisan Nasional”, katanya.
Pada masa yang sama ketika menggariskan 7 teras yang merangkumi 21 langkah untuk membolehkan UMNO mencapai hala tuju menang dan kembali berkuasa beliau turut menjelaskan maksud UMNO sebagai Kerajaan Menanti.
Katanya biarpun tidak dapat membentuk kerajaan, UMNO merupakan sebuah parti paling dominan berdasarkan keputusan PRU-14.
“Sebab itu nilai pemimpin UMNO yang menang pada pilihan raya umum lalu, adalah mahal harganya.
“Dengan kegagalan kerajaan menunaikan janji manifesto dan beberapa dasar flip-flop telah membangkitkan kemarahan rakyat, saya percaya UMNO mempunyai harapan cerah untuk mendapat kembali kepercayaan rakyat.
“Saya telah mewujudkan 4 kluster bagi memastikan prestasi kerajaan hari ini dipantau dengan teliti. Fungsi dan tugas jawatankuasa ini adalah seakan-akan ‘kabinet bayangan’ dan ia adalah seperti berikut:
KLUSTER PERTAMA: Jabatan Perdana Menteri, Perundangan, Sumber Manusia dan Keselamatan
KLUSTER KEDUA: Kewangan, Ekonomi dan Industri
KLUSTER KETIGA: Pendidikan, Sosial dan Budaya
KLUSTER KEEMPAT: Infrastruktur, Teknologi dan Kesihatan
“Perlu saya tegaskan, kita bukan hanya sebagai pembangkang yang konstruktif dan dinamik, tetapi kita juga adalah Kerajaan Menanti atau Government In Waiting”, ujarnya. -MediaUMNO