Pemilihan UMNO Lancar, Tak Ada Tumbuk Menumbuk, Kerusi Terbang Atau FRU Datang


KUALA LUMPUR, 29 Sept – Tidak ada tumbuk menumbuk, tidak ada kerusi terbang malah ahli UMNO tidak perlu memanggil mana-mana FRU untuk meleraikan pergaduhan dalam pemilihan UMNO, sebagaimana yang terjadi pada pemilihan di sesetengah parti yang lain, kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

“Proses pemilihan UMNO dari peringkat Cawangan, Bahagian hinggalah ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berjalan dengan tertib mengikut peraturan,” katanya dalam menyampaikan laporan persidangan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 yang berlangsung malam ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Katanya, proses pemilihan parti peringkat Cawangan telah berjalan dalam tempoh 21 hari bermula 19 Mei hingga 10 Jun yang melibatkan 21,990 cawangan dimana 19,124 cawangan telah bersidang, iaitu melibatkani lebih 3 juta ahli.

“Satu rekod yang belum pernah dicipta oleh mana-mana parti politik.”

Jelasnya, persidangan peringkat Bahagian pula berlangsung satu hari sahaja secara serentak di seluruh negara pada 30hb Jun yang melibatkan 191 Bahagian dengan perwakilan berjumlah 177,263 orang terlibat dalam pemilihan Bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi.

“Ini telah melibatkan 140 calon Majlis Kerja Tertinggi untuk 25 jawatan, 94 calon Wanita, 206 calon Pemuda dan 81 calon Puteri.

“Dengan jumlah-jumlah tersebut, jelaslah, walaupun UMNO bukan lagi parti pemerintah namun sambutan ahli-ahli parti tetap hangat bagi menyahut seruan perjuangan UMNO.

“Sokongan dan dokongan ahli UMNO akar umbi adalah kekuatan parti.”

Sehubungan itu katanya, jumlah ahli biasa UMNO ialah 3,696,283 dan ahli bergabung UMNO melalui Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), 171,405 dari 1,442 cawangan sementara bilangan cawangan UMNO berjumlah 21,964 cawangan. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit