Cadangan Had Umur Mengundi Kepada 18 Tahun Perlu Diberi Tumpuan – Wakil Pemuda Selangor
KUALA LUMPUR, 29 Sept – Wakil Pembahas Pemuda UMNO Selangor, Rizam Ismail mencadangkan agar pergerakan itu mengambil tumpuan terhadap cadangan had umur untuk mengundi yang akan diturunkan kepada 18 tahun.
Menurut beliau langkah mendepani soal berkenaan perlu disegerakan agar parti terus relevan dan demi masa depan UMNO khususnya menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Saya sebutkan tadi, UMNO perlu mendepani masa hadapan. Tidak lama lagi, had umur untuk mengundi akan diturunkan kepada 18 tahun. Oleh sebab itu, Pemuda UMNO wajib bersiap sedia untuk tempoh baki sebelum PRU-15.
“Pemuda UMNO di setiap peringkat perlu segera mengenalpasti bakat-bakat baru. Pemuda UMNO perlu mengangkat ikon-ikon yang boleh diketengahkan yang dilihat dapat di terima generasi muda masa kini.
“Saya yakin di bawah kepimpinan Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, kita mampu mendapat hasil yang kita inginkan. Bagi saya, kedua-dua pemimpin kita ini mempunyai kekuatan tersendiri dan sekiranya kekuatan ini digabungkan dan kita uli, saya pasti kita boleh menjadi sebuah pergerakan yang mampu untuk diyakini oleh generasi muda hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyokong usul ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada persidangan pergerakan itu, di sini, hari ini.
Rizan seterusnya mengharapkan dalam tempoh membaikpulih parti ini, kepimpinan dapat melihat secara menyeluruh terutama kepada ahli-ahli parti diperingkat bawah dan sebagainya.
“Pada masa yang sama dan yang paling penting sekali, kita perlu dilihat kembali memperjuangkan apa yang diinginkan generasi baru hari ini mengikut waktu dan keadaan ketika ini. Kerana ini adalah kunci kejayaan kita,” katanya.
Beliau seterusnya mengingatkan dan mengharapkan agar ahli parti untuk terus sama-sama berada di dalam parti bukan sahaja untuk terus berjuang malah melakukan perubahan.
“UMNO ini ibaratnya sebuah pokok yang besar dan kukuh serta rendang. Tetapi oleh kerana ianya semakin rendang dan tidak terurus, janganlah kita dilihat mencari pokok lain kerana pokok lain ini masih baru, belum tentu akan hidup dan akan kukuh seperti pokok yang sedia ada ini.
“Sebaiknya adalah lebih baik kita sama sama kembali membaja dan mencantas pokok lama ini semula agar dapat tumbuh tunas yang baru bagi memastikan pokok ini terus terpelihara. Percayalah Hari ini bukan masanya kita dituntut sekadar untuk berjuang, tetapi inilah masanya kita di tuntut untuk melakukan perubahan,” katanya. – MediaUMNO