Ucapan Presiden Mesti Luar Biasa – Tajuddin
KUALA LUMPUR 28 Sept. – Seluruh perwakilan dan ahli UMNO menantikan satu ucapan dasar Presiden yang luar biasa dan tidak retorik pada perasmian perhimpunan agung parti itu Ahad ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang sering dicap ‘ultra Melayu’ menegaskan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi harus memberi ucapan meyakinkan dan diyakini oleh bukan sahaja orang UMNO tetapi yang berada di luar parti itu yang masih bersandarkan kepada UMNO untuk membela dan memperjuangkan nasib mereka.
“Ucapan presiden merupakan satu petunjuk yang bukan sahaja melakarkan hala tuju yang tetap sama, tidak berubah seperti menjaga hal ehwal Islam, institusi Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan ekonomi, tetapi lebih dari itu mesti luar biasa…lain dari yang sudah-sudah sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
“Keadaan sekarang menuntut kepada bukan sahaja semangat presiden tetapi juga komitmen terhadap perjuangan parti,” kata Tajuddin.
Tegas Tajuddin, jika diperhatikan dari siri perhimpunan agung parti yang lepas, kebanyakan perwakilan hanya berkobar-kobar semangatnya dalam Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra, tetapi apabila pulang ke kawasan masing-masing mereka tenggelam punca.
Kata Tajuddin: “Komitmen dan gerak kerja jentera dulu lemah di bahagian bawah. Kalau dilihat sekarang, Datuk Zahid telah nyatakan akan turun padang ke bahagian-bahagian untuk berjumpa pemimpin-pemimpin, itu saya sokonglah.
“Tetapi program turun padang yang akan dilakukan mesti lain dari yang pernah dibuat oleh pemimpin sebelum PRU…jumpa, salam, kemudian balik (ke Kuala Lumpur). Ini tidak akan dapat bangkitkan semangat ahli, hanya retorik.”
Mengambil sikap berterus-terang, Tajuddin tidak menafikan bahawa UMNO masih lagi lemah dalam penguasaan dunia siber berhadapan jentera maya Pakatan Harapan.
“Saya belum nampak lagi kebangkitan ahli dan pemimpin UMNO yang handal dalam menghadapi musuh-musuh politik di dunia maya.
“Dunia maya masih dikuasai Pakatan Harapan, pemimpin mereka menguasai media sosial dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan berupa serangan terhadap UMNO, mewujudkan persepsi buruk serta menjatuhkan kredibiliti pemimpin parti.
“Bagi saya, setiap ahli UMNO itu bertindak sebagai cybertrooper parti…jangan berharap kepada hanya beberapa pemain IT (teknologi maklumat) kerana `serangan dahsyat’ ini tidak termampu dipikul seorang dua. Setiap pemimpin mesti sanggup berhadapan atau confront musuh-musuh politik kita. Jawab dan beri penerangan.
Yang menghairankan, kata Tajuddin, waktu ini hanya bekas presiden Datuk Seri Najib Tun Razak bergerak aktif dalam media sosial terutama Facebook dengan memberi jawapan-jawapan balas kepada serangan Pakatan Harapan terhadap UMNO dan Barisan Nasional.
“Tapi kenapa pemimpin-pemimpin UMNO mendiamkan diri apabila dicerca? Saya ingin tarik perhatian di sini bahawa kekalahan kita (UMNO) bukan disebabkan kita gagal tetapi kerana ada yang terpedaya dengan janji-janji manis yang ditabur oleh Pakatan Harapan. Malah, tuduhan-tuduhan yang dilemparkan masih perlu dibuktikan di mahkamah.
“Kerana buta hati, jasa-jasa UMNO dinafi dan diperkecil-kecilkan. Bukankah UMNO selamatkan (bebaskan) negara ini dari penjajah, keluarkan orang Melayu dari bangsa yang tidak berpengetahuan, meletakkan rakyat Malaysia bertaraf dunia dan dihormati bangsa-bangsa lain di dunia? Ini semua hasil kejayaan UMNO,” kata beliau.
Kelemahan UMNO, tegas Tajuddin lagi disebabkan parti tidak bijak menangani propaganda dan hasutan daripada Pakatan Harapan.
“Kita tak bijak nak balas serangan dari jentera media sosial mereka, kita ambil mudah dari isu-isu yang dieksploitasikan oleh mereka,” kata beliau.
Kata Tajuddin: “Kita (UMNO) dulu tak dapat maklum balas dan info yang tepat…lebih mendengar info-info yang datang dari pembodek-pembodek berbanding maklum balas daripada pihak-pihak yang bercakap benar, tidak ada kepentingan diri yang kita tidak ambil serius.” – UTUSAN ONLINE