Tok Mat Harap Prinsip Bersaing Untuk Lebih Baik Daripada Pihak Lawan Jadi Amalan

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat berkata prinsip bersaing untuk menjadi yang lebih baik daripada yang lain perlu ada dalam setiap diri ahli parti sebagai usaha untuk memastikan UMNO dapat menyaingi parti lawan.

Menurut beliau mengambil contoh beberapa produk yang dulunya diminati ramai mahupun menjadi sebutan, namun hari ini produk berkenaan tidak lagi ada atau pun hilang disebabkan oleh persaingan.

“Banyak produk yang dulunya besar-besar yang tidak pernah kita jangkakan akan hilang hari ini namanya sudah tidak ada.

“Siapa jangka mula-mula telefon pintar yang diperkenalkan seperti Nokia, hari ini ada juga Samsung dan i-phone yang menjadi saingannya.

“Jadi UMNO diharapkan jangan jadi seumpama itu. Harap anak-anak muda sebagai pelapis yang bakal menjadi pemimpin pada satu ketika nanti mesti ada semangat untuk bersaing,” katanya di sini hari ini.

Katanya lagi UMNO tidak dibuang begitu sahaja sebelum ini sebaliknya masih lagi menjadi harapan kepada rakyat terutama orang Melayu.

“Banyak parti-parti yang gagal dalam kejayaan. Kuomintang gagal bukan kerana mereka teruk tetapi gagal dalam kejayaannya mentadbir negara namun bangkit semula.

“Kita harapkan kegagalan ini sebagai suatu cabaran kepada budaya kita supaya ubah suai dalam usaha memastikan parti ditadbir urus dengan baik dan boleh dijadikan tempat bergantung harap.

“Ubahlah sikap, jangan lagi kata bahawa orang Melayu bergantung harap kepada UMNO tetapi UMNOlah sebenarnya yang bergantung harap dengan orang Melayu. Selagi mana orang Melayu mempunyai harapan kepada parti kita selagi itulah UMNO akan terus relevan,” katanya lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit