Idealisme Agama Bukan Sebahagian Daripada Politik Mesti Ditolak

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, sesiapa yang menolak bahawa politik itu adalah sebahagian daripada ajaran Islam, maka secara tidak langsung individu itu sebenarnya telah menolak ajaran agama itu sendiri.

Menurut beliau, ada golongan yang tidak berhenti-henti mempromosikan idealisme bahawa agama tidak boleh mendasari politik dan berpolitik dengan berteraskan agama dan bangsa adalah sesuatu yang sudah ketinggalan zaman kepada rakyat khususnya umat Islam di negara ini.

“Ada pihak yang mengatakan, politik yang berasaskan agama adalah sesuatu yang sudah ketinggalan zaman. Maka, ramai juga di antara orang Melayu dan Islam yang menjaja ideologi sedemikian. Mereka terlupa untuk menyemak, adakah itu sesuatu yang selari dengan kehidupan agama kita.

“Sedangkan dalam agama kita menyatakan, tanggungjawab kita sebagai khalifah di bumi Allah ini termasuklah yang terpenting sekali ialah mengabdikan diri kepada Allah dan menegakkan agama. Jadi barang siapa yang menerima politik ini tidak boleh berasaskan agama, orang itu telah menolak ajaran agama. Sedangkan di dalam ajaran Islam, jelas menyebut bahawa Islam itu adalah cara kehidupan.

“Golongan yang membawa idea sedemikian itu adalah golongan yang percaya kepada idealisme sekularisme. Agama itu hanya tugas untuk tok-tok guru sahaja, manakala politik itu adalah tugas pembesar-pembesar negara. Sedangkan kita tahu, di dalam Islam tidak mengajar kehidupan yang sedemikian.

“Islam itu adalah agama yang lengkap dan bagaimana Islam itu boleh menjadi sebagai agama yang lengkap sekiranya politik tidak termasuk di dalamnya. Kalau Islam tidak termasuk politik, Islam tidak boleh dianggap sebagai agama yang lengkap,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program diskusi khas menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2018 yang bersiaran secara langsung melalui medium facebook rasmi UMNO Online.

Kata Annuar lagi, sekiranya umat Islam percaya bahawa Islam merupakan satu agama yang lengkap, secara satu cara hidup, maka politik itu tidak dapat dipisahkan dalam menjalani tuntutan agama dalam kehidupan seseorang Muslim.

“Mana mungkin hari ini kita boleh mengamalkan politik yang meletakkan agama bukan sebahagian daripada asas perjuangan? Jadi kalau kita faham perkara ini, dengan mudah kita akan menolak pandangan dan idealisme yang menolak agama daripada mendasari gerakan politik.

“UMNO tanpa memperjuangkan Islam, mati. Pas tanpa memperjuangkan Islam, mati. Jika UMNO dan Pas mati, apa akan jadi? Siapa yang akan membawa obor bagi menegakkan agama itu dalam pentadbiran negara.

“Maka sekiranya itu terjadi, kita akan lihat kehidupan beragama ini akan berganti dengan kehidupan yang berfahaman liberalisme, atheisme, kita akan melihat urusan agama bukan lagi urusan kerajaan, akan timbullah fahaman seperti menjaga Islam itu bermaksud menjaga agama-agama lain juga dan datangnya penafsiran songsang dalam agama.

“Apakah negara dan kehidupan seperti  itu yang orang Melayu dan umat Islam mahu di masa akan datang?,” soalnya tegas.-MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.