Boikot PRK PD Bukan Takut Kalah, Lebih Baik UMNO Tumpu Usaha Perkukuh Parti – Shamsul


KUALA LUMPUR, 25 Sept – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menegaskan bahawa keputusan Barisan Nasional (BN) “memboikot” dan tidak mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Kecil P132 Port Dickson (PD) Negeri Sembilan sebagaimana diumumkan oleh Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, adalah sangat wajar dan tepat sekali.

Katanya, keputusan ini bukan bermaksud BN takut kalah atau ingin memberikan laluan mudah kepada Anwar Ibrahim tetapi situasi ini tidak berbangkit sama sekali, malah kita menghormati dan menyanjung tinggi amalan demokrasi di negara ini.

“Namun sengaja mengadakan pilihan raya atas sebab menjayakan cita-cita peribadi seseorang adalah tidak wajar sama sekali. Malah sudah pasti pilihan raya kecil ini akan melibatkan penggunaan wang rakyat yang banyak.

“Pasti ia merupakan suatu pembaziran kerana lebih baik ia digunakan untuk tujuan lain terutama menjaga kebajikan rakyat yang tertekan ketika ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, ketika ini UMNO lebih baik memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuhkan parti dan meningkat keyakinan pemimpin serta ahli parti seluruh negara.

“Melibatkan diri dalam pilihan raya kecil di Port Dickson hanya menghilangkan tumpuan UMNO kepada perkara yang lebih penting.

“Kepada ahli parti, saya harap kita fokuskan kepada tugas utama kita ketika ini.

“Perpaduan dalam kalangan pemimpin dan ahli perlu terus diperkukuhkan,” tegasnya lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit