Akan Terus Kekal Dalam Parti, Pastikan UMNO Terus Relevan – Masidi


KOTA KINABALU, 20 Sept – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menegaskan bahawa beliau akan terus bertahan dalam UMNO selagi mana parti tersebut wujud dan berfungsi sebagai sebuah pertubuhan politik.

Jelasnya, politik sentiasa berubah dan perubahan sudahpun dirasa sendiri ekoran keputusan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Landskap politik baharu memerlukan kita merubah pendekatan politik kita. UMNO mesti berubah untuk terus relevan dalam suasana politik yang baharu.

Beliau berkata demikian mengulas berkaitan insiden semalam apabila dikejutkan dengan keputusan pemimpin kanan UMNO Sabah, YB Datuk Seri Anifah Aman meninggalkan parti dan sebelumnya tindakan yang sama oleh YB Datuk Seri Mustapa Mohamad yang mana kedua-dua mereka memegang fortfolio penting dalam Kabinet Barisan Nasional (BN) yang lalu.

“Saya tidak berhasrat menghakimi tindakan mereka. Dalam sebuah negara demokrasi mereka berhak menentukan hala tuju politik mereka termasuk meninggalkan UMNO. Cuma kita sedih kerana mereka meninggalkan kita disaat UMNO menghadapi cabaran politik yg paling getir.

“Bagi diri saya sendiri, saya akan terus bertahan dalam UMNO selagi parti ini masih wujud dan berfungsi sebagai sebuah pertubuhan politik. UMNO banyak berbudi kepada saya, antaranya, kalau bukan kerana UMNO tidak mungkin saya diberi kepercayaan menganggotai Jemaah Menteri Negeri Sabah selama tiga penggal.

“Saya tidak menjadi kaya raya dengan duit dan harta dalam UMNO tetapi saya kaya dengan sahabat-sahabat baik dan ikhlas seperti saudara-saudara yang senantiasa mendokong kepimpinan saya. Ini bagi saya adalah merupakan kurnia Tuhan yang lebih besar dan bermakna daripada semua duit dan harta,” katanya yang juga ADUN Karanaan dalam satu kenyataan.”

Katanya, kalau ada keperluan untuk mengubah hala tuju politik, maka ia akan dibincang bersama untuk mencapai kata sepakat.
“Saya akan dipandu oleh hasrat dan aspirasi semua ahli UMNO Ranau, bukan kehendak dan kepentingan peribadi saya,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit