Bekas Adun Beserah Meninggal Dunia Akibat Angin Ahmar
KUANTAN, 12 Sept – Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah Datuk Faisal Abdullah, 70, meninggal dunia akibat angin ahmar di sebuah hospital swasta di sini, kira-kira pukul 11.45 malam tadi.
Anak sulungnya Ahmad Fadzilan, 40, berkata arwah dimasukkan ke hospital itu sejak sembilan hari lalu selepas keadaan kesihatannya merosot selepas pulang daripada rawatan dialisis.
“Ayah memang menghidap penyakit kencing manis dan buah pinggang serta ada sejarah angin ahmar.
“Ayah ditahan di hospital selepas kami membawanya untuk pemeriksaan kerana muntah-muntah selepas melakukan dialisis,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Masjid Medan Tok Sira di sini, hari ini.
Ahmad Fadzilan menambah jenazah ayahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali di sini, sebelum solat Zuhur hari ini.
Turut menziarah jenazah ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, barisan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan bekas menteri besar Datuk Seri Adnan Yaakob.
Faisal yang dilahirkan di Mengabang Telipot, Kuala Terengganu meninggalkan isteri Datin Maimunah Sulong, 65, lima orang anak termasuk sepasang kembar dan lapan cucu.
Beliau merupakan ADUN Beserah selama sepenggal dari 2004 hingga 2008 dan pernah menjawat jawatan Setiausaha Kerja UMNO Pahang semasa Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Besar Pahang pada 1982 hingga 1986.
Faisal juga pernah berkhidmat sebagai wartawan sambilan di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Berita Harian daripada tahun 1971 hingga 1978.