Surat Terbuka UMNO Kepada YB Mujahid Agar Tegas Pertahan Mahkamah Syariah

KUALA LUMPUR, 8 Sept – UMNO melalui Ketua Pergerakan Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah menulis surat terbuka yang ditujukan khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkaitan hal yang menjadi polemik dalam masyarakat hari ini iaitu hukuman sebat ke atas dua pesalah lesbian.

Berikut surat terbuka beliau:

Awalnya saya sedikit lega bila melihat ketegasan Menteri Agama YB Mujahid Yusof meminta semua menghormati keputusan hukuman sebatan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu terhadap dua pesalah wanita kerana kesalahan melibatkan lesbian. Namun nampaknya kelegaan saya ini tidak berpanjangan kerana tampak YB sudah buat pusingan U dengan menegur pula keputusan hukuman sebat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu.

Mungkin ada baiknya saya kongsikan beberapa nota penting untuk YB pertimbangkan agar dapat memainkan peranan selaku benteng mempertahankan Islam bukannya turut mendendangkan alunan yang sama dengan segelintir yang mahu meremehkan undang-undang Syariah.

1. Hukuman Rotan Syariah adalah kaedah penalti yang dibenarkan undang-undang Islam sama ada melibatkan kes-kes hudud mahupun takzir.

2. Hukuman rotan ini telahpun diluluskan di Parlimen Malaysia pada 1984 secara sebulat suara di Parlimen yang meminda Seksyen 2, Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (dikenali juga dengan Akta 355).

3. Pada tahun 1984 tersebut, buat pertama kali hukuman rotan Syariah tidak melebihi enam sebatan diperkenalkan dan terpakai kepada semua Mahkamah Syariah seluruh Negara.

4. Hukuman rotan di hadapan khalayak ramai termasuk di dalam Dewan Mahkamah telah banyak dilaksanakan sebelum ini di beberapa negeri termasuk di Sabah bahkan tidak pernah dipolemikkan.

5. Hukuman rotan Syariah tidak boleh sesekali mencederakan sebaliknya hanyalah sebagai pengajaran jauh sekali daripada prasangka zalim dan boleh mencemarkan imej Islam.

6. Sebaliknya rotan sivil adalah jauh lebih kejam dan menyebabkan daging punggung tersiyat bahkan kadangkala boleh memercik darah tatkala dirotan bahagian punggung pesalah. Justeru kalau nak dikaji hukuman sebatan, maka sebatan sivil yang lebih utama harus dikaji semula.

7. Pengalaman saya hanya 3 tahun selaku Timbalan Menteri Agama, tidak pernah saya menyaksikan campur tangan Menteri Pusat yang mengkritik atau menegur sebarang keputusan Mahkamah Syariah memandangkan undang-undang Syariah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri masing-masing.

8. Ini kerana kita menghormati doktrin ‘separation of power’ atau pemisahan kuasa samaada antara kerajaan Persekutuan dengan Negeri-negeri mahupun antara tiga badan utama iaitu Eksekutif (Anggota Pentadbiran), Legislatif (Penggubal Undang-undang) dan Judiciary (Kehakiman).

9. Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang bijaksana yang amat memahami kebertanggungjawabannya kepada Allah, sudah tentu telah mengambil kira semua fakta kes dan isu-isu berkaitan termasuklah hujah Maqasid Syariah yang YB sebutkan tatkala menjatuhkan hukuman.

10. Akhir sekali, moleklah YB Menteri merujuk terlebih dahulu kepada pihak berautoriti agama terutamanya SS Datuk Mufti Wilayah Persekutuan sebelum memberikan pandangan berkaitan perspektif hukum walaupun saya amat menghormati YB sebagai graduan lulusan Bahasa Arab daripada Mesir yang pasti luas pembacaan dan ilmunya.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.