Pembangkang Konstruktif Perlu Ada Di Selangor – Tan
BALAKONG, 7 Sept – Pada saat akhir berkempen, calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Tan Chee Teong sekali lagi meminta pengundi di kawasan itu supaya memilihnya bagi membolehkan sebuah pembangkang konstruktif dapat diwujudkan di Selangor.
Tan berkata ini kerana beliau ingin menegakkan sistem dua parti yang mempunyai pembangkang kuat bagi membolehkan suara rakyat dapat terus diperjuangkan.
“Inilah sebab saya sanggup mengambil cabaran ini (bertanding), dan saya memberi jaminan untuk berusaha menjadi sebuah pembangkang yang konstruktif.
“Saya akan berani bersuara serta memastikan semak dan imbang, kerana inilah tanggungjawab pembangkang. Saya percaya hanya pembangkang yang mampu melaksanakan tugas tersebut,” katanya pada sidang media menerusi Facebook Live hari ini.
Tan yang berasal dan dibesarkan di Batu 11, Cheras di sini, berkata walaupun ramai berpendapat beliau tidak akan menang pada PRK esok, beliau tetap akan melaksanakan tanggungjawabnya mewakili penduduk Balakong.
“Tujuan saya memasuki politik adalah untuk membantu orang. Inilah yang mendorong saya meneruskan usaha ini. Jika saya berjaya menjadi ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri), saya akan berusaha membangunkan kawasan kita,” katanya.
Dalam pada itu, Tan berkata ada segelintir pihak mengutuk dan memarahinya kerana memasuki parti yang ‘salah’.
Namun, beliau berkata apa yang harus diberikan keutamaan adalah kebajikan penduduk berbanding parti politik.
PRK berkenaan yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai lepas, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Tan dan calon Pakatan Harapan (PH) Wong Siew Ki.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas, Ng daripada DAP menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS) dengan majoriti 35,538 undi.