Mahkamah Syariah Wajar Dihormati Sebagaimana Mahkamah Sivil


KOTA BHARU, 6 Sept – Tindakan hukuman sebat yang dikenakan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu ke atas dua wanita, masing-masing berumur 32 dan 22 tahun, baru-baru ini seharusnya tidak dipertikaikan.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata ia keputusan mahkamah yang perlu dihormati seperti mana prosedur dijalankan oleh mahkamah sivil.

“Tindakan rotan oleh mahkamah sivil jauh lebih keras berbanding mahkamah syariah tetapi tiada pertikaian berlaku, malah tindakan pertikai hukuman yang ditetapkan dianggap menghina mahkamah.

“Kenapa tindakan mempertikai hukuman mahkamah syariah tidak dilihat dalam pandangan sama,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pandangan barisan Kabinet hari ini yang disuarakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa adalah penting Islam tidak ditonjolkan sebagai agama yang bengis dengan hukuman berat menanti umatnya yang melakukan kesalahan.

Mengulas lanjut Mohamad Shukri berkata tidak wajar berlaku pilih kasih dalam pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini, apatah lagi tindakan itu bertujuan memberi keinsafan kepada pesalah dan pengajaran kepada masyarakat lain.

“Memang setiap orang bebas bersuara tetapi kita harap dalam era Malaysia Baharu ini fikiran kita berubah terhadap nilai Islam di negara ini,” katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) Mohd Syahbudin Hashim berkata hukuman yang dilaksanakan mahkamah syariah itu dilihat amat wajar dilaksanakan bagi membendung kegiatan yang bercanggah dengan hukum agama dan budaya.

“Jika undang-undang syariah sudah memperuntukkan demikian, maka kita kena patuh pada kedaulatan undang-undang ditetapkan. Lagipun hukum Allah melangkaui kehendak manusia,” katanya.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.