Dr Maszlee Wajar Istiqamah Tunai Janji Universiti Bebas Campur Tangan Politik – Reezal

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berpendapat Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik wajar menilai semula kewajaran menerima pelantikan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) yang baru kerana jawatan tersebut kelihatan sangat bercanggah dengan komitmen dan tekadnya untuk membebaskan universiti sama sekali daripada campur tangan politik.

Menurut beliau kenyataan ini berulang kali Dr Maszlee sebutkan di dalam media massa dan ianya wajar dianggap sebagai paksi dan teras pembaharuan yang mahu beliau bawa dalam suasana politik dan pentadbiran serba baru.

“Apakah dengan tanggungjawab sedia ada, menggalas amanah menjaga dua buah portfolio Kementerian (Pengajian Tinggi dan Pendidikan) memberikan beliau masa untuk menjayakan peranan berkesan sebagai Presiden UIAM. Kalau pun mungkin jawatan Presiden UIAM ini bersifat istiadat dan bukan ‘operational’ ianya masih memerlukan masa dan perhatian khusus oleh seseorang yang lebih layak dan wajar diberikan tempat.

“Dr Maszlee wajar mengotakan janji untuk tidak melibatkan diri sama sekali di dalam pentadbiran universiti. Menteri Pendidikan wajar istiqamah dan bersungguh mengotakan janji dan komitmen yang beliau sendiri ucapkan selama ini.

“UIAM punya cukup calon berwibawa untuk dipertimbangkan bagi mengisi jawatan sebagai Presiden. Sebagai contoh, kenapa tidak individu terhormat seperti Tan Sri Prof. Dr. Mohd Kamal Hassan dilantik sebagai Presiden UIAM. Tan Sri Prof Dr. Mohd Kamal mempunyai wibawa dan kredibiliti untuk meletakkan UIAM di persada kecemerlangan yang berterusan. Sumbangan Tan Sri Prof Kamal kepada UIAM sememangnya diakui bukan sahaja di Malaysia, malahan di pentas antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Reezal, Dr Maszlee mempunyai potensi untuk membawa pembaharuan kepada sistem pendidikan negara sekiranya beliau tidak kesasar dengan menerima amanah yang berlebihan.

“Apa yang diharapkan beliau dapat memberikan fokus dan perhatian kepada beban tanggungjawab sedia ada dan tidak berdolak-dalik dalam memberi justifikasi kepada kewajaran beliau menerima pelantikan di universiti seperti ini.

“Rakyat Malaysia mengharapkan para menteri yang berpegang kepada janji perubahan. Amatlah tidak wajar, seorang menteri membohongi dan mendustai komitmen yang telah beliau sendiri nyatakan secara berulang kali.

“Pandangan bahawa Presiden UIAM wajar dilantik di kalangan ilmuwan dan ahli akademik juga pernah disuarakan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) dan Persatuan Kakitangan Akademik (UIAM) sendiri. Justeru, tindakan paling wajar dan tepat buat Menteri Pendidikan adalah menolak jawatan tersebut dengan penuh hormat dan takzim.

“Dr Maszlee – this time, please be honorable with your words,” katanya lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit