Tindakan Kerajaan Mahu Berkonfrontasi Dengan China Tidak Bijak

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Pemerhati Politik, Kapten (B) Rahmat Omar menyifatkan tindakan kerajaan yang seolah-olah mahu berkonfrontasi dengan negara China merupakan satu tindakan yang tidak bijak untuk pembangunan ekonomi Malaysia memandangkan negara tersebut diramalkan bakal menjadi kuasa terbesar ekonomi dunia tidak lama lagi.

Katanya, Malaysia tidak boleh kembali bersikap sepertimana pada tahun 80-an dahulu di mana Malaysia secara langsung berkonfrontasi dengan negara Britain di mana Malaysia menjalankan kempen ‘Buy British Last’ ketika di bawah kepimpinan Tun Mahathir ketika itu.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku dalam perbincangan antara perdana menteri dan China, tetapi setelah pulang dari China, saya dapati Tun Mahathir mula menukar nada dan menyerang semula projek-projek yang dibiayai oleh negara China.

“Adakah perkara ini yang kita mahukan? Siapakah kita dari sudut ekonomi jika mahu dibandingkan dengan negara China ketika ini. China merupakan satu kuasa ekonomi yang begitu besar, dan bakal menjadi kuasa ekonomi nombor satu dunia.

“Jadi kalau kita terus mahu menunjukkan sikap berkonfrontasi sepertimana yang berlaku pada tahun 90-an dulu, tidak ada siapa yang mahukan perkara seperti itu lagi. Ianya sudah berlalu. Bahkan, banyak negara-negara lain yang mahu menjalankan hubungan dagang dan pelaburan dari China pada hari ini. Negara Canada, AS, UK semuanya mahukan pelaburan dari China, cuma Malaysia saja yang tidak mahu, dan saya tidak tahu kenapa kerajaan hari ini bersikap sedemikian.

“Apa yang saya bimbangkan, jika kita terus bersikap seperti ini, yang akan menjadi mangsa adalah rakyat. Disebabkan mahu tunjuk bahawa kita kononnya gah, akhirnya rakyat yang akan menjadi mangsanya nanti,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program Diskusi U3.0 yang membawa tajuk ‘Pengurusan Ekonomi Kerajaan PH’ .

Manakala  Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pula berpandangan bahawa berlakunya krisis ekonomi yang agak meruncing pada tahun hadapan berdasarkan situasi semasa berhubung ekonomi negara pada hari ini, sekiranya kerajaan gagal menangani isu kejatuhan matawang, penarikan pelaburan asing, kenaikan harga barang dan sebagainya.

Menurut beliau, penarikan saham-saham oleh pelabur asing yang berbilion jumlahnya,  penggantian sistem cukai daripada GST kepada SST yang diramalkan akan menaikkan harga barangan, merupakan faktor-faktor awal yang memperlihatkan negara sedang menuju ke arah krisis ekonomi.

“Sebab itu amat penting untuk kita menegur kerajaan sekarang ini agar mengukuhkan dasar ekonomi negara supaya krisis ekonomi itu dapat dielakkan pada tahun-tahun yang mendatang. Saya suka dengan sikap Rafizi, biarpun beliau bukan di kalangan kawan kita dari segi politik, tetapi dia menegur.

“Menteri-menteri Pakatan Harapan yang lain semua penakut. Dulu mereka kata kita (BN) takut kepada Perdana Menteri, tetapi hari ini terlalu banyak perkara yang flip flop dalam PH, tidak ada seorang menteri yang berani masuk ke dalam pejabat Perdana Menteri untuk menegur, terutamanya Dap.

“Apa saja keputusan yang dibuat oleh Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, tidak seorang pun di kalangan Menteri yang berani memberikan pandangan atau teguran, sedangkan mereka berjanji kepada rakyat bahawa jika mereka berkuasa, pemusatan kuasa kepada Perdana Menteri akan dikurangkan.

“Sebab itu, saya harap sangat-sangat sepanjang Pakatan Harapan memerintah, menteri-menteri hendaklah menjaga mulut mereka, terutamanya dengan negara-negara yang mempunyai kekuatan ekonomi seperti China. Jangan terburu-buru membuat kenyataan, kerana akhirnya nanti kesannya akan kembali kepada rakyat,” jelasnya.-MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit