Apa Menteri dan Belia Buat Untuk Isi Kemerdekaan?

Menjelang kehadiran 31 Ogos tahun ini, sudah pasti ia akan membawa kita sejenak mengimbas perjalanan negara ini menuju pengisian kemerdekaan yang lebih bermakna dan ternoktah.

Apakah kemerdekaan kali ke-61 ini lebih bermakna dan membawa sejuta pengertian yang amat mendalam bagi setiap rakyat, khususnya golongan belia.

Generasi yang mewarisi kepimpinan akan datang dan hadir dalam pelbagai latar dan resam.

Bagi mereka yang tidak pernah melalui detik merdeka, sudah semestinya akan merasakan pengisian kemerdekaan kali ini, penuh dramatik dan perlu diraikan dengan cara tersendiri.

Bagi orang-orang lama, kemungkinan besar melihat perubahan kanvas sosio politik tanahair, mengingat mereka kepada kemerdekaan yang dicapai dengan titisan darah dan air mata.

Apapun jua cara mengenang semua itu, sambutan kali ini didokong oleh gerakan siasah yang sekian lama kerjanya membangkang.

Sudah pasti banyak perbezaannya. Sudah pasti pandangan mengenai cara pengisiannya juga berbeza dari pendokong sebelumnya.

Justeru, apakah peranan belia pada saat di ambang ulang tahun kemerdekaan ini? Apakah belia perlu terus jadi bobrokan dan umpan untuk meramaikan, memeriahkan dan mengimarahkan?

Apakah belia hanya diperlukan sebagai penyambut tetamu atau diminta duduk di tepi Grand Stand?

Dua perkara pasti berlaku. Pertama, kita masih tertanya-tanya apakah pengisian kemerdekaan kali ini lebih baik dari sebelumnya dan kedua, sudah berubahkan sikap rakyat dalam usaha mengisi kemerdekaan itu?

Jika belia hari ini ikut sama bertanyakan soalan-soalan itu, maka mungkin juga akan meriah sambutan kali ini.

Mungkin juga ramai dalam kalangan mereka yang turut bangun awal pagi, bergerak ke lapangan-lapangan sambutan kemerdekaan di segenap ceruk dan rantau, sebelum kokok ayam pertama mengejutkan.

Atau mungkinkah ramai belia masih terus dalam selimut sehingga tinggi matahari pada tanggal 31 Ogos dan akhirnya menatap telefon pintar demi menjadi lebih bijak?

Mungkin juga ramai belia bertanya, “Apalah sangat nak sambut merdeka ni?”, soalan yang diajukan dek tidak seksinya sambutan kemerdekaan.

Ya, tidaklah seseksi unjuk rasa seperti memansuhkan PTPTN atau menentang SPR bersama-sama demonstran berbaju kuning tertera tulisan BERSIH.

Atau, apa mungkin belia akan menyambutnya dengan membeli pelbagai barangan dan memuat naik gambar dan harga barang pra-SST di saluran Instagram dan Tumblr.

Supaya nanti pasca 1 September akan lebih bermakna dengan harga barangan yang lebih terkawal dan murah bagi beberapa produk keluaran tempatan, serta kemungkinan lebih banyak subsidi diperkenalkan.

Generasi belia pasti ternanti-nanti apakah amanat kepada mereka yang akan terhambur dari mulut Menterinya yang dilihat dakap memeluk pesilat negara di Palembang itu.

Sekali pun digelar macai, menteri itu masih memeluk erat segala macai yang ditemuinya saban hari.

Satu pesanan, usahlah rajin mendakap sahaja tanpa diberikan bantuan dan peruntukan. Persatuan belia bukan organisasi berasaskan keuntungan.

Harap menteri jangan buat-buat lupa tentang tugas hakikinya menghidupkan gerakan belia yang lebih macai lagi.

Walaupun beliau menteri muda dan masih mentah, usahlah cepat sangat matang dalam melupakan tanggungjawabnya kepada belia.

Jangan juga cepat menjadi bijak dalam berbohong kepada belia. Usah jadi pegar yang memakan padi.

Menteri yang jaga belia perlu sedar, bahawa tanpa jadi lebih macai, mana mungkin dia mampu menjadi menteri.

Para belia akur bahawa hanya dengan menjadi macailah, baru boleh golongan itu bersama-sama memangkin pembangunan negara yang lebih baik.

Nor Azman Hasbullah
Ketua Penerangan
Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) merangkap Pengerusi Majlis Belia Daerah Kulai
30 Ogos 2018

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit