Keputusan Hapus GST Punca Kekalutan Dasar Ekonomi Kerajaan PH Hari Ini
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan meminta rakyat agar tidak terpengaruh dengan dakyah kerajaan Pakatan Harapan (PH) kononnya projek ERCL tidak menguntungkan rakyat, sedangkan sekiranya pelaksanaan projek tersebut diteruskan, kegiatan ekonomi akan melonjak, wujudnya peluang pekerjaan dan meningkat harga tanah di sekitar kawasan tersebut.
Sememangnya menurut beliau, projek tranportasi awam seperti ini tidak akan mencatatkan keuntungan dari segi pengoperasiannya, dan perkara ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi juga di negara-negara luar.
“Sebab itu, kita sebagai rakyat kena faham. Jangan termakan dakyah dan fitnah daripada PH yang mengatakan bahawa projek ECRL ini dibatalkan kerana ia tidak menguntungkan.
“Saya mahu beritahu, contohnya seperti Lebuhraya Utara Selatan, sampai sekarang kita masih belum mampu beri tol percuma kepada rakyat kerana kita masih ada kos-kos yang perlu ditanggung. Jadi apakah PLUS mendapat untung secara keseluruhannya dari segi pengoperasian lebuhraya tersebut?
“Tetapi, apa yang perlu dilihat ialah selama 20 tahun lebih lebuhraya ini wujud, tidak ada orang yang boleh menidakkan sepanjang lebuhraya ini wujud, telah membuka ruang yang cukup besar untuk kawasan di pantai barat menjadi sebuah kawasan berdaya maju seperti apa yang kita lihat hari ini.
“Begitu jugalah dengan jajaran laluan keretapi. Ke mana saja laluan tersebut melintasi sesebuah kawasan, pastinya ia akan membawa kemajuan serta peluang ekonomi di kawasan-kawasan itu,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program Diskusi U3.0 yang bersiaran langsung melalui facebook rasmi UMNO Online yang membawakan tajuk ‘Pengurusan Ekonomi Kerajaan PH’ bersama Kapt (B) Rahmat Omar, seorang pemerhati politik dan Datuk Dr Nor Azizan Abdul Majid sebagai moderator.
Katanya, inilah keberanian kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini untuk melakukan satu pelaburan yang besar demi memastikan rakyat di Kelantan, Terengganu dan Pahang mendapat pembaharuan dari sudut ekonomi yang tidak pernah dikecapi sewaktu pemerintahan pemimpin sebelum Datuk Seri Najib.
“Datuk Seri Najib dan anggota jemaah menteri BN telah membuat satu keputusan yang tepat demi pembelaan ekonomi yang selama ini tidak pernah mereka kecapi.
“Tetapi malangnya, kerajaan PH telah membuat keputusan untuk membatalkan GST sehingga menyebabkan kerajaan kehilangan RM21 bilion, dan tidak mampu untuk membuat bayaran balik ERCL yang hanya berjumlah empat ke lima bilion sahaja setahun akibat kehilangan RM21 bilion dana negara.
“Boleh saya katakan, akibat membatalkan GST lah menyebabkan kerajaan hari ini mempunyai masalah kewangan dan inilah sebenarnya yang menyebabkan kekalutan dasar ekonomi kerajaan PH sehingga terpaksa membatalkan beberapa projek yang banyak memberikan manfaat kepada rakyat di negara ini,” ujarnya lagi.-MediaUMNO