Hapus BR1M… Bukti PH Gagal Fahami Rakyat
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Shahrul Nasrun Kamaruddin berkata, langkah Kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH) mahu menghapuskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) jelas menunjukkan mereka gagal memahami isu dan permasalahan yang sedang menghimpit rakyat ketika ini iaitu isu kos sara hidup.
Jelas beliau, kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengumumkan BR1M atau Bantuan Sara Hidup akan dikurangkan sebelum dihapuskan seperti dilaporkan The Malaysian Insight bertarikh 25 Ogos juga sekali lagi menunjukkan Kerajaan PH tiada ketetapan dan tidak pernah konsisten.
“Pengumuman terbaru itu juga menunjukkan Tun Dr. Mahathir adalah Perdana Menteri yang ‘cakap tidak serupa bikin’. Ini kerana 15 Januari 2017, beliau mengatakan BR1M dikekalkan sekiranya PH menguasai Putrajaya malah ia terkandung dalam Manifesto PH.
“Berdasarkan perkiraan asas, sekiranya penerima BR1M bantuan sebanyak RM1200 setahun bermakna mereka ada penambahan pendapatan RM100 sebulan dan dapat digunakan bagi menampung perbelanjaan tertentu sekaligus meringankan beban mereka malah BR1M sebenarnya sama seperti bantuan-bantuan lain yang disalurkan oleh kerajaan kepada rakyat seperti bantuan khas atau bonus penjawat awam di musim perayaan atau bonus akhir tahun.
“Justeru, Tun Dr. Mahathir janganlah berdalih dengan mengatakan BR1M membuatkan rakyat akan bersikap ‘manja’ atau malas dan hidup bergantung ‘tongkat’ kerajaan. Akui sahaja pengumuman mengurangkan dan seterusnya menghapuskan BR1M kerana kerajaan bakal kekurangan pendapatan kesan daripada pemansuhan GST yang menyebabkan negara kehilangan berpuluh billion,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.
Shahrul turut mengingatkan kerajaan PH agar tidak terus menzalimi rakyat dengan memansuhkan bantuan-bantuan rakyat yang dibuat oleh kerajaan terdahulu kerana BR1M atau apa pun nama kerajaan PH ingin perkenalkan kelak, wajar dikekalkan dan perlu penambahbaikan untuk memastikan rakyat berpendapatan rendah terbela.
“Kerajaan PH perlu mengetahui, sekiranya BR1M dihapuskan tatkala isu kos sara hidup masih lagi menghimpit rakyat ia membuktikan kerajaan PH di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir gagal menjuarai isu-isu rakyat berbanding kerajaan terdahulu.
“BR1M adalah bantuan bersasar bertujuan untuk menampung dan meringankan beban perbelanjaan isi rumah terutama golongan B40 yang terkesan akibat kenaikan kos sara hidup.
“Bagi golongan pertengahan atau yang bergaji besar, BR1M mungkin tidak seberapa. Namun, bagi mereka yang berpendapatan rendah seperti golongan nelayan, petani dan penoreh getah BR1M merupakan sumber penambahan kepada pendapatan mereka,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO