BR1M Unsur Rasuah : Alasan Azmin Sangat Dangkal – Khairy
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin membidas kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali yang memberikan alasan pemberhentian BR1M adalah kerana ada unsur rasuah dan menyifatkan kenyataan itu sebagai sangat dangkal.
Menurut beliau, jika Azmin menganggap pemberian wang tunai itu sebagai sogokan, maka beliau mencadangkan agar kerajaan menghentikan pemberian bonus dan duit raya kepada kakitangan kerajaan kerana ia juga boleh dianggap wujudnya unsur sogokan.
“Kalau begitu, jika pemberian wang tunai itu dianggap sogokan, maka hentikanlah juga pemberian bonus dan duit raya kepada kakitangan awam yang diamalkan oleh kerajaan selama ini. Alasan beliau pemberhentian BR1M kerana ada unsur rasuah adalah sangat dangkal,” ujarnya melalui entri terbaru di status Twitter rasminya.
Justeru, beliau membantah hasrat kerajaan yang mahu mengurangkan, malah menghapuskan skim bantuan tersebut yang ternyata diakui oleh pakar-pakar ekonomi mampu untuk membantu meningkatkan kitaran ekonomi di kalangan golongan tersebut.
“Saya membantah hasrat kerajaan untuk mengurangkan BR1M atau memansuhkan skim bantuan tersebut. Jika ada kelemahan, BR1M boleh diperkukuhkan lagi dengan dari segi pengesahan penerima yang layak, serta boleh juga dibuat perbelanjaan bersyarat.
“Pemberian wang secara tunai seperti ini bukan hanya di Malaysia, tetapi diamalkan oleh banyak negara lain. Skim seperti ini sangat membantu meringankan beban kos sara hidup yang ditanggung oleh golongan B40,” tegasnya.-MediaUMNO