Nasib Pekerja ECRL Ibarat Jatuh Ditimpa Tangga, Kerajaan PH Tak Akan Bayar Pampasan
KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga… itulah yang menimpa nasib pekerja tempatan yang terlibat dengan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) lantaran sudahlah hilang pekerjaan, pampasan pun tiada apabila kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) berkata tidak akan membayar pampasan kerana pengambilan mereka bukan di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pengambilan pekerja tempatan itu berada dibawah tanggungjawab China Communications Construction Company (CCCC).
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abdul Mutalib yang ingin mengetahui bagaimana dengan nasib lebih kurang 2,000 pekerja yang telah diberhentikan terutamanya pekerja tempatan.
Projek ECRL digantung berkuat kuasa serta-merta sejak 3 Julai lalu susulan kenyataan Guan Eng bahawa kos sebenar projek terbabit sepanjang 688.3 kilometer (km) membabitkan perbelanjaan RM81 bilion dan ia perlu dikurangkan secara signifikan supaya berdaya maju dari segi kewangan. – MediaUMNO