Buka Semula Siasatan 1MDB : Najib Tiada Halangan Tapi Bukanlah Untuk Cari Kesalahan Semata-Mata
KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata beliau tidak mempunyai masalah jika Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) mahu membuka semula siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) namun ianya bukan semata-mata untuk mencari kesalahan.
“Kalau nak dibuka semula itu hak PAC tetapi janganlah dalam ‘mood’ mahu mencari kesalahan sahaja… sekarang ini mereka dah ada mandat untuk mentadbir negara. Kalau mereka mahu buka semula saya tidak ada apa-apa nak bantah sebab kita nak cari kebenaran
“Sebenarnya PAC dah habiskan masa selama enam bulan dan berdasarkan laporan Ketua Audit Negara dan mereka telah buat kesimpulan. PAC dahulu telah buat kesimpulan bahawa tidak ada apa-apa kesalahan yang saya lakukan sebagai perdana menteri dan menteri kewangan. Itu telah ‘diendorse’ oleh PAC dahulu dan dalam PAC yang lalu pun ada pembangkang,” katanya di lobi Parlimen, di sini, hari ini.
Najib seterusnya menegaskan sebagai sebuah kerajaan yang telah mendapat mandat hari ini, mereka seharusnya memberi tumpuan terhadap membangunkan negara.
“Sepatutnya mereka memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk membangunkan negara kita, untuk mencari punca-punca yang baru dari segi idea, sumber kekayaan bagaimana nak majukan ekonomi.
“Bagimana nak menolong rakyat di mana rakyat sekarang ini dinafikan hak-hak yang telah dipersetujui oleh kerajaan terdahulu telah dikurangkan dengan begitu ketara sekali.
“Umpamanya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) telah dikurangkan jumlahnya dan kadarnya, kenaikan gaji tahunan penjawat awam yang khas untuk tahun ini telah dibatalkan, pegawai kontrak telah diberhentikan seramai 17,000, bantuan nelayan dan banyak lagi yang sepatutnya rakyat terima,” katanya.
Katanya lagi sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sebelum ini, pihaknya telah menyediakan dana yang mencukupi untuk melakukan perkara-perkara tersebut.
“…dan jangka panjang memang hasrat saya untuk mengurangkan kadar cukai korporat dan cukai peribadi secara berperingkat-peringkat dan ianya tidak boleh dilakukan secara mengejut,” katanya lagi. – MediaUMNO