Wanita UMNO Negeri Sembilan Gesa Kerajaan Tolak Tuntutan LGBT
SEREMBAN, 13 Ogos (Bernama) – Pergerakan Wanita UMNO Negeri Sembilan hari ini menggesa kerajaan menolak sebarang tuntutan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini memandangkan ia bertentangan dengan Islam.
Ketuanya Lattefah Aliyaru Kunju berkata kemahuan tidak berasas golongan itu perlu disekat dan dihentikan kerana ia juga bertentangan dengan nilai-nilai kehidupan normal seorang manusia.
“Hak yang dituntut adalah satu permulaan untuk golongan ini mendapat ruang dalam masyarakat dan mungkin di masa akan datang, mereka akan meminta bermacam-macam lagi dan mungkin juga meminta undang-undang digubal khusus untuk mereka.
“Perkara ini harus dibendung bermula daripada sekarang supaya masalah ini tidak mempengaruhi kehidupan generasi akan datang,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Katanya, pergerakan itu juga berpendirian menolak sebarang tuntutan LGBT yang bertentangan dengan Islam.
Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menerima jemputan untuk bertemu wakil komuniti transgender, Nisha Ayub bagi menyelami serta memahami isu berkaitan transgender, khususnya peranan institusi agama dalam menangani permasalahan berkenaan.