BN Komited Tidak Jadikan DUN Johor Sebagai Sarkas – Hasni
ISKANDAR PUTERI, 12 Ogos – Barisan Nasional (BN) selaku pembangkang melahirkan komitmen untuk tidak menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sebagai ‘sarkas’ dengan perang vokal yang tidak matang dan kebudak-budakan.
Ketua Pembangkang, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata BN akan memberi kerjasama dengan semua pihak termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pihak kerajaan selagi apa yang ingin dilakukan akan membuahkan kebaikan kepada rakyat Johor.
Khamis lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar ketika merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Pertama DUN Johor Ke-14, mengingatkan semua ADUN supaya menjaga adab dan tatatertib ketika berbahas.
Sultan Ibrahim bertitah baginda tidak mahu DUN Johor dijadikan seperti ‘sarkas’ dan berharap Speaker DUN Johor akan menjalankan tugas dengan cekap dan tegas bagi memastikan perbahasan dibuat dengan berhemah dan teratur.
Hasni berkata, “Secara ringkasnya, saya boleh merumuskan titah tuanku Sultan Johor kepada tiga perkara asas. Pertama, tuanku mahukan kita semua selaku wakil rakyat memberikan yang terbaik untuk Johor dan masyarakatnya.
“Kedua, kita mesti menghormati dan menjadikan dewan ini sebagai forum terbaik membincangkan isu rakyat dan ketiga, menjadi tugas kita semua untuk membawa Johor ke tahap yang jauh lebih baik dari sekarang dan tidak membiarkan ideologi politik mengaburi keputusan kita.
“Justeru, saya ingin menegaskan yang Barisan Nasional akan memastikan kami menjadi pembangkang yang terbaik,” kata Hasni ketika sesi perbahasan Persidangan DUN Johor di sini hari ini.
Beliau berkata BN dalam masa yang sama akan menjadikan amalan politik yang progresif dan profesional sebagai tunjang pembangkang, malah beliau sendiri komited untuk membuka jalan ke arah amalan politik yang sempurna dan baik.
“Jadi, sudah menjadi tanggungjawab kita semua untuk tidak menghampakan rakyat Johor yang telah memberikan mandat yang besar ini.
“Dan memandangkan mandat kita semua sangat besar, maka, pembangkang di Johor berikrar akan memberikan khidmat terbaik dalam bentuk, skala dan kematangan yang tidak pernah dipamerkan pembangkang sebelum ini,” katanya.