Dakwaan LGE Serius, Suruhanjaya Siasatan DiRaja Harus Segera Diadakan – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Pemuda UMNO) amat terkejut dan memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sewaktu perbahasan Rang Undang-Undang berkaitan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di Dewan Rakyat semalam, kata ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki .

Jelasnya, Menteri Kewangan mendakwa Kerajaan BN sebelum ini telah berkomplot merompak sejumlah RM19. 4 billion dari tabung “Input Tax Credit” GST yang bakal dikembalikan kepada perniagaan sejak tiga tahun pelaksanaan GST.

“Tuduhan rompakan atau ketirisan ini adalah suatu perkara yang amat serius kerana ia bukan sahaja melibatkan wang rakyat bahkan membabitkan integriti dan kompetensi ribuan kakitangan awam dan profesional di dalam pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan sebagaimana dakwaan YB Menteri termasuklah Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Akauntan Negara Malaysia (ANM) dan Audit Negara.

“Sehubungan dengan itu, Pemuda UMNO meminta agar pihak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk segera memohon perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat dakwaan ini dengan kadar segera dan secara telus tanpa prejudis.”

Katanya, Pemuda UMNO percaya penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini amat penting kerana tuduhan ini dibuat oleh seorang anggota pentadbiran tertinggi Kerajaan dan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi yang boleh menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa.

“Rakyat juga berhak untuk mengetahui kebenaran mengenai perkara ini secara terbuka dan adil,” tegasnya lagi dalam satu kenyataan media hari ini. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit