LGBT: Penentangnya Dianggap Jumud? – Farhan


KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Pemuda UMNO melahirkan perasaan bimbang terhadap gerakan-gerakan mengganggu-gugat akidah umat Islam di negara ini yang semakin rancak dan tidak lagi berselindung terutamanya sejak 9 Mei lalu yang membawa Malaysia ke satu polemik baharu.

Menurut Exconya, Farhan Khairuddin, beliau melihat kepada senario politik semasa di mana setiap umat Islam di negara ini dapat merasai tamparan gerakan kumpulan-kumpulan anti-Islam seperti gerakan Evangelis Kristian (COMANGO, Interfaith Commission dan lain-lain).

“Mereka sudah berani menggerakkan gerakan ini secara terang-terangan.

“Terbaru, ikon-ikon LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender) kini sudah mula ditonjolkan kepada umum tanpa perasaan segan silu.

“Apa sudah jadi kepada Malaysia yang mengangkat Islam sebagai agama bagi Persekutuan?” soalnya, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di facebooknya, hari ini.

Ironinya, apabila ada kumpulan yang menentang pergerakan songsang ini, mereka pula akan dianggap sebagai tidak adil dan jumud, ujarnya lagi.

“Malaysia sudah dikotorkan pemikirannya, umat Islam sudah semakin liberal dan terlalu terbuka dengan gejala yang sudah terang diberi peringatan oleh Allah SWT.

“Hakikatnya, sedarlah wahai umat Islam di bumi Malaysia, bahawa Allah sedang meminjamkan kita nikmat kehidupan yang sementara, ianya bakal diterbalikkan pada bila-bila masa angkara kita sendiri yang tidak mengingati pesan-Nya,” tegasnya sambil memetik peringatan dari Al-Quran, di mana Allah telah memberi hukuman yang amat dahsyat kepada pelaku-pelaku songsang tersebut, sebagaimana yang terjadi kepada kaum Nabi Lut. – Media UMNO.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit