Penurunan Jumlah Undi Tanda Protes Kepada Kerajaan PH

SHAH ALAM, 4 Ogos – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menjadi bukti bahawa rakyat memberi signal tanda protes kepada kerajaan yang memerintah hari ini, kata Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan.

“Keputusan ini adalah satu tanda protes dan tentunya kepada kerajaan yang memerintah hari ini,” katanya.

Jelasnya, sebagai kerajaan yang memerintah kalau kehilangan begitu banyak peratusan pengundi maka nampak jelas ada sesuatu yang tak kena.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyasarkan peratusan keluar mengundi sebanyak 80 peratus namun secara tidak rasmi hanya 49.8 peratus pengundi yang keluar.

Dalam masa yang sama, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berpuas hati dengan perjalanan jentera sepanjang PRK tersebut.

“Saya puas hati dengan perjalanan jentera sepanjang PRK ini, kita telah cuba dengan baik dan jentera juga telah bekerja dengan baik,” katanya kepada UMNO-Online yang mengulas berkaitan keputusan PRK DUN Sungai Kandis.

PRK ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas K. Murthy.

Kekosongan kerusi DUN Sungai Kandis itu berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit