Jika Inilah Semangat Orang UMNO, Kita Mampu Bangkit – Ketua Penerangan

 

KLANG, 4 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah melahirkan rasa berpuas hati dengan jentera Barisan Nasional (BN) yang masih setia bertugas bagi memastikan orang ramai keluar mengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Jelas beliau, tinjauan yang dilakukan di beberapa lokasi pengundian menunjukkan para petugas begitu tekun bagi mendapatkan sokongan pengundi walaupun dalam keadaan hujan.

“Saya amat gembira dan puas hati kerana inilah semangat yang kita perlukan. Di kala parti keramat ini bukan lagi tonggak kerajaan tetapi ahli parti masih begitu setia dan berjiwa besar membantu.

“Jika beginilah semangat orang UMNO, saya yakin dan percaya kita mampu bangkit dengan lebih utuh pada masa depan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Sebelum itu, Dr Shamsul Anuar turut menyertai peraih undi di hadapan Kolej Islam Alam Shah.

Kehadiran beliau membuatkan para petugas semakin bersemangat bagi menjalankan tugas meraih sokongan pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 80 peratus pemilih keluar mengundi pada PRK itu dan keputusan dijangka diumumkan pada pukul 10 malam.

Proses penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 di sini, sebaik sahaja proses pengundian tamat pada pukul 5.30 petang ini.

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas K. Murthy.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit