Tuduhan Utusan Malaysia Hentam Kerajaan Dikesali, Usah Bunuh Kebebasan Akhbar

JOHOR BHARU, 3 Ogos – Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap akhbar Utusan Malaysia ekoran laporannya yang menghentam kerajaan adalah amat dikesali, kata Ketua Penerangan Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ), Nor Azman Hasbullah.

Katanya, ia ibarat menyimbah garam di luka apabila kenyataan Dr Mahathir itu dikeluarkan ekoran arahan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi pemberhentian serta merta langganan akhbar Utusan Malaysia di bahagian, agensi, sekolah, universiti, kolej dan semua institusi di bawah kementerian itu.

“Kenyataan dan arahan itu amat tidak wajar kerana ia secara langsung memberi kesan negatif kepada keluhuran perlembagaan negara yang menjunjung kebebasan akhbar serta kebebasan bersuara dan menyatakan perkara-perkara kebenaran,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam hal ini beliau merujuk Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan negara yang jelas memberikan pencerahan tentang kebebasan itu dan itu turut dihuraikan dengan teliti menerusi Fasal (2), (3) dan (4) perkara yang sama.

“Apatah lagi semua itu berlaku dalam suasana kepimpinan negara yang baru memegang tampuk pemerintahan negara serta berlandaskan sokongan serta keyakinan rakyat untuk institusi dan kebebasan pihak media terus direkayasa dan berkembang pesat.

“Malangnya harapan itu meleset dalam tempoh kurang 100 hari pemerintahan kerajaan hari ini.

“Kenyataan Perdana Menteri dan tindakan oleh KPM tidak wajar berlaku kerana ia mengancam kebebasan pengamal media daripada terus berkhidmat dengan kebebasan seperti mana yang dilaungkan semenjak sebelum merdeka.”

Malah, tegasnya kebebasan akhbar itu jelas terpancar menerusi segala ruang lingkup perundangan yang membenarkannya beroperasi tanpa rasa takut atau memihak “without fear or favour”.

“Selaku media perdana, Utusan Malaysia berhak memainkan peranannya dalam melaporkan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang melibatkan dalam apa jua organisasi mahupun individu.

“Malah, ia turut berperanan menggalakkan tata kelola kerajaan dan agensinya untuk sentiasa melaksanakan polisi-polisi yang terbaik demi manfaat para pemegang taruhnya.

“Kedua, kenyataan dan tindakan itu juga langsung tidak menggambarkan besarnya jiwa dan roh yang dimilikinya kedua-duanya. Ironinya kerana Perdana Menteri dan kementerian seperti KPM sepatutnya tegar dalam meniup semangat dan mendidik jiwa-jiwa insan dalam membangunkan sebuah negara bangsa.

Bidasnya, mana mungkin terbinanya tamadun yang hebat jika soal kebebasan akhbar pun tidak mampu ditangani dengan sebaiknya.

“Ketiga, jika soal perbezaan ideologi politik yang menjadi sandaran bagi keputusan yang dibuat, Perdana Menteri dan agensi kerajaan seharusnya bersikap adil dengan bertindak sedemikian rupa ke atas media lain.

“Ia perlu mengekang seluruh rakyat daripada menelusuri segala maklumat yang disajikan pihak media dari segenap saluran.

“Sekiranya tindakan sedemikian diambil, maka sudah tentu negara akan mundur beberapa abad ke belakang.

Keempat, katanya, dalam era ledakan maklumat kita seharusnya membuka seluas-luas peluang untuk rakyat menerobos ruang di depan mata dalam mengejar ilmu dari perspektif berbeza.

“Ini termasuk membenarkan mereka untuk membaca dan menimba naratif berbeza dari sebuah penerbitan akhbar.

“Akhbar Utusan Malaysia merupakan penerbitan media perdana yang telah banyak berjasa dalam pembangunan negara.

“Ia turut memainkan peranan penting dalam setiap lipatan sejarah tanahair dengan memberikan laporan tepat dan tuntas. Seluruh warga akhbar itu amat arif dan akur tentang keluhuran Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan negara.”

Katanya, jika credentials semapan itupun boleh dikesampingkan KPM, apatah lagi yang sewaktu dengannya.

“Kelima, dalam suasana ekonomi yang tidak menentu serta perubahan landskap politik negara, KPM perlu lebih manusiawi dalam menjalankan peranannya.

“Tentunya tindakan pemberhentian sedemikian rupa bakal menjejaskan sekian ramai pengamal media dan keluarga mereka.

“Jika dendam kesumat yang menjadi garis pandu bagi Perdana Menteri dan KPM dalam mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia, percayalah kelak karma akan menimpa si pembuat di kemudian hari.”

Justeru, beliau menggesa agar kenyataan dan keputusan tersebut ditarik semula. Perdana Menteri dan KPM seharusnya berjiwa besar dan menjadi pelopor kepada meningkatkan kebebasan media menerusi kerencaman sumber ilmu.

“Usah dibunuh Utusan Malaysia,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.