Pengundi DUN Sungai Kandis Diseru Suarakan Ketidakpuasan Hati Dengan Pilih BN Esok

KLANG, 3 Ogos – Rakyat perlu menyuarakan ketidakpuasan hati kepada kerajaan dengan memberikan undi kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis yang akan berlangsung esok, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Katanya, PRK adalah cara terbaik untuk dimanfaatkan sebagai signal bahawa rakyat menuntut kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji-janji sebagaimana yang dibentangkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Manfaat dan gunakanlah peluang yang diberi ini kerana sepanjang PH berkerajaan, kita dapat lihat dengan jelas bagaimana Kerajaan di peringkat Persekutuan dan juga di Selangor yang sudah 10 tahun ditadbir sebenarnya tidak melaksanakan banyak perkara yang mereka janjikan,” katanya.

Tegasnya, rakyat berhak untuk menuntutnyakerana mereka sudah pun berjanji.

“Saya percaya rakyat mesti suarakan apa yang telah kerajaan janjikan… kalau kerajaan berjanji untuk memberi peluang kepada peminjam PTPTN membayar pinjaman pada tangga gaji RM4 ribu maka tuntutlah… cuma kalau kerajaan laksanakan maka tentunya akan beri kesan besar kepada kewangan PTPTN.

“Kerajaan juga perlu adil, berilah juga peluang kepada peminjam MARA, JPA, Yayasan Negeri dan kepada semua. Tak bolehlah kerajaan jaga kepentingan sekelompok sahaja. Rakyat mesti nyatakan suara dan tuntut segala janji yang ada.”

Katanya, berdasarkan kepada perkembangan semasa, ternyata bahawa kerajaan hari ini tidak mengkaji sedalam-dalamnya sebelum mereka berjanji.

“BN ada pengalaman, ada pengetahuan, kita tahu dan apabila persoalan dilemparkan di dalam Dewan Rakyat dan jawapan yang diberikan maka kita tahu ya, benar atau tidak.

“Amat jelas bahawa mereka memutarbelitkan isu, mencari alasan untuk tidak melaksanakan janji. Saya harap rakyat di luar sedar dengan apa yang berlaku dan menjadikan PRK sebagai peluang untuk memberi isyarat kepada mereka.

“Hari ini kita dapat lihat bagaimana rakyat tertipu apabila soal-soal pembelaan di luar bandar diabaikan, harga barang sedang naik melambung-lambung dan tidak ada satu mekanisme dari kerajaan… yang ada hanyalah melaksanakan apa yang dilakukan oleh kerajaan dahulu, tidak ada idea baru, hanyalah menukar nama baru tapi masih lagi berperisa kerajaan lama.”

Ujarnya, ini membuktikan apa yang dilakukan oleh BN sudah betul cuma mana perlu dilakukan penambahbaikan.

“Inilah kesedaran kepada rakyat untuk pengundi memberikan signal kepada kerajaan dengan mengundi BN dan menambah bilangan pembangkang di sidang DUN Selangor nanti,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam program Diskusi N49 yang diadakan di Command Centre BN, Kg Sungai Kandis dan boleh disaksikan secara langsung melalui laman facebook UMNO-Online.

Seramai 51,217 pengundi bakal menunaikan tanggungjawab memilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, esok.

Sebanyak 19 pusat mengundi dengan 109 saluran dibuka bermula 8 pagi hingga 5.30 petang. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit