Kerajaan Hari Ini Berfikir Bermula Dari Kaki, Bukan Dari Kepala – Mat Nadzari


SHAH ALAM, 2 Ogos – Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan menyifatkan menteri kerajaan hari ini berfikir bermula dengan kaki dan bukan bermula di kepala dalam mengatasi pelbagai isu, sebagai contoh dalam isu pendidikan hari ini.

Menurut beliau, dalam bidang pendidikan hari ini misalnya, ada pelbagai isu besar yang sepatutnya ditangani oleh menteri yang diamanahkan untuk menjaga bidang tersebut.

“Tetapi nampaknya kerajaan hari ini melalui menterinya berfikir bermula dengan kaki untuk mengatasi isu-isu besar pendidikan hari ini. Saya tidak tahu kenapa mereka tidak bermula dengan otak di kepala untuk berfikir sesuatu yang barangkali boleh memberikan manfaat di masa hadapan.

“Malah kita dapat lihat hari ini menteri-menteri kerajaan memberikan kenyataan atau pun alasan dalam isu-isu semasa yang tidak munasabah seperti jawapan-jawapan berapa jumlah ikan kembung di dalam laut, isu kasut hitam dan kasut putih dan lain-lain jawapan yang tidak masuk akal.

“Perkara seperti ini berlaku kerana bagi saya, kerajaan PH hari ini  tidak bersedia untuk mentadbir negara dan secara tidak langsung, mereka jadi terkejar-kejar untuk mencapai manifesto mereka yang jelas tidak mampu mereka laksanakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program Diskusi N49 yang disiarkan secara langsung melalui facebook rasmi UMNO Online dengan membawa topik ‘Dah Hampir 100 hari’ yang turut menampilkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jaya.

Manakala menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato Dr Fathul Bari Mat Jaya pula, apa yang membimbangkan hari ini, apabila kerajaan gagal melaksanakan 10 perkara yang dijanjikan mereka kepada rakyat sebelum pilihanraya, mereka cuba meletakkan kesalahan terhadap kepimpinan kerajaan terdahulu.

“Walaupun isu 1MDB memainkan peranan penting dalam mengubah pemikiran rakyat, namun 10 janji yang mereka tawarkan itu juga memainkan peranan yang besar dalam mempengaruhi rakyat untuk memberikan undi kepada kepada Pakatan Harapan (PH).

“Kegagalan kerajaan PH dalam menunaikan janji 100 hari mereka itu ternyata sesuatu yang mengecewakan rakyat serta membuka ruang tohmahan kepada kerajaan itu sendiri. Kerajaan tidak boleh menyalahkan rakyat dalam menyuarakan rasa tidak puas hati mereka kerana apa yang mereka tuntut adalah janji daripada kerajaan itu sendiri.

“Kerajaan hari ini kena akui kesilapan dan kelemahan mereka dalam isu ini dan janganlah meletakkan kegagalan mereka dalam melaksanakan janji-janji itu kepada kepimpinan kerajaan yang lalu di mana saya rasa perbuatan tersebut seolah-olah menggambarkan kerajaan hari ini tidak ada perancangan untuk sesuatu yang lebih baik berbanding kerajaan sebelum ini,” tegasnya lagi –MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit