Biarpun Bertiga, Kami Akan Jadi Pembangkang Yang Dinamik – Ketua Pembangkang
GEORGE TOWN, 2 Ogos – Biarpun suasana agak berbeza pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini dengan hanya ditemani dua wakil rakyat muka baharu, Ketua Pembangkang Muhammad Yusoff Mohd Noor menegaskan mereka akan menjadi pembangkang yang dinamik.
Muhammad Yusoff yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua berkata pembangkang di Pulau Pinang juga akan menyemak segala projek dan aktiviti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dengan memastikan mereka (kerajaan) menjaga permasalahan yang dihadapi rakyat.
“Kami akan memberi teguran dan nasihat dengan cara yang baik untuk memastikan pembangunan yang dibuat adalah pembangunan yang mampan yang menjaga alam sekitar.
“Ya…tidak dinafikan tugas dan tanggungjawab kali ini amat berat berbanding dahulu kerana dahulu kita ada 10 wakil rakyat bagaimanapun kami akan tetap bangkit demi rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah ADUN bagi Mesyuarat Penggal pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kali ke-14 di sini hari ini.
Muhammad Yusoff berkata antara perkara yang akan dibangkitkan pembangkang pada sesi persidangan kali ini ialah isu-isu berkaitan banjir, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), isu perumahan serta golongan miskin.
“Kami juga menyentuh tentang orang muda miskin yang perlu diberi bantuan dari segi pelaksanaan konteks ekonomi untuk ditambah pendapatan, hal berkaitan banjir yang belum selesai, kami akan terus bangkitkan isu ini, isu penarahan bukit juga kami akan terus bangkitkan supaya kerajaan negeri melihat perkara ini sebagai satu benda yang perlu diberi perhatian, tidak boleh hendak membuat pembangunan tanpa melihat kepentingan penduduk,” katanya.
Sementara itu berhubung pelantikan Yang Dipertua Dewan Datuk Law Choo Kiang, Muhammad Yusoff berkata pihak pembangkang menyokong pelantikan itu.
“Bagi saya beliau (Law) speaker yang cukup baik, berdasarkan pengalaman tahun lepas memang beliau speaker yang tegas dan dia tidak memilih parti, maknanya dia bagi peluang pada semua orang,” katanya.
Ditanya sama ada UMNO akan menerima jawatan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) DUN, Muhammad Yusoff berkata menurut manifesto Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini, ketua pembangkang akan menjadi pengerusi PAC.
“Kami akan terima tawaran itu jika ditawarkan dan kami akan melihat apakah masalah dalam jawatankuasa ini, mencari apa-apa kelemahan yang ada yang perlu dibaiki,” katanya.