Tak Sampai 100 Hari, Kerajaan PH Jadi Bahan Persenda Netizen Di Media Sosial


SHAH ALAM, 1 Ogos – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Adnan Seman berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjadi bahan lawak netizen di media sosial hari ini adalah disebabkan tindakan menteri-menteri kerajaan yang seringkali membuat kenyataan yang menggelikan hati serta tidak memperlihatkan mereka memiliki pemikiran bertaraf menteri seperti yang sepatutnya.

Menurut beliau yang juga seorang pengamal undang-undang, ini terjadi adalah kerana kenyataan menteri-menteri di bawah kerajaan PH berhubung isu-isu semasa adalah melucukan dan tidak menggambarkan status mereka sebagai seorang menteri.

“Apabila menteri-menteri kerajaan hari ini membuat kenyataan tentang Melayu itu pendatang, isu kasut hitam, menteri pendidikan pula sibuk bercerita isu jual plat kereta, bagi saya apa yang mereka lakukan itu amat menggelikan hati.

“Bagi saya, sebagai seorang menteri, kita beranggapan mereka akan memberikan cadangan-cadangan yang lebih bernas. Contohnya dalam soal pendidikan, bagaimana mahu meningkatkan kajian di universiti. Bagaimana formula baru boleh dipatenkan.

“Kemudian, wujudkan kerjasama di antara pemain-pemain industri, pemain ekonomi dan pasaran, dengan universiti-universiti. Ini adalah antara perkara-perkara yang mana boleh memberikan impak yang besar kepada sistem pendidikan kita di mana kita sekarang ini jauh ketinggalan. Ini sebagai satu contoh,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program Diskusi N49 yang bersiaran secara langsung melalui facebook rasmi UMNO Online pada setiap malam sepanjang tempoh berkempen PRK DUN Sungai Kandis, mengupas isu ‘Kasut Hitam’ yang menjadi topik perbincangan malam ini.

Tambah beliau, tidak hairanlah  jika kerajaan PH hari ini menjadi bahan-bahan jenaka dan lawak di media sosial oleh netizen.

“Dengan berlakunya isu-isu polemik sejak dua bulan kebelakangan ini apabila menteri bercerita soal pendatang, menteri bercerita tentang soal kawat, tentang jumlah ikan di laut dan sebagainya, maka tidak hairankan kerajaan PH hari ini teruk dijadikan bahan ‘troll’ oleh netizen di media sosial.

“Sepatutnya pemimpin PH, apabila mereka memberitahu rakyat kononnya BN tidak patut dipilih semula sebagai kerajaan, mereka sepatutnya dalam keadaan bersedia, kerana mereka akan mengambil tampuk pemerintah negara sekiranya mereka menang, dan ini telah pun berlaku.

“Dan apabila mereka memerintah negara, segala tindak tanduk mereka itu akan memberikan impak tidak sahaja kepada penyokong PH, tetapi juga kepada semua rakyat di seluruh negara. Jadi apabila kerajaan membuat sesuatu dasar, maka ia akan melibatkan rakyat secara keseluruhannya dan bukan hanya penyokong PH semata-mata,” tegasnya lagi.-MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit