Sikap MP PH Ganggu MP BN Berbahas Memualkan

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Walaupun sudah mengambil alih tampuk pimpinan negara, namun sikap Ahli Parlimen kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) begitu memualkan.

Minggu ketiga Dewan Rakyat bersidang, ia masih dihidangkan dengan kelakuan dan kata-kata mereka yang tidak matang dan suka melanggar peraturan.

Ahli Parlimen Jelutong khususnya, begitu agresif mengganggu setiap kali Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang sedang berucap dan acap kali beliau akan menyampuk dengan perkara yang tidak sepatutnya.

Semalam, ucapan Ahli Parlimen Pontian Datuk Ahmad Maslan turut tidak terkecuali dari diganggu oleh RSN Rayer.

Semasa Ahmad sedang menyentuh mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST) ketika membahaskan Titah Yang Di Pertuan Agong, semalam, Rayer mencelah tanpa meminta kebenaran.

“Jelutong baru masuk, sebab kawasan saya banjir pagi tadi. Saya nak tahu bagaimana laksana GST, harga barang boleh turun,” katanya mencelah.

Ahmad yang tenang menghadapi sikap Rayer yang sering mengacau ahli parlimen BN berbahas, mengajak Rayer untuk berjumpa di kafeteria kerana dilihat begitu berminat dengan pelaksanaan GST.

“Terima kasih kerana tertarik, nanti kita bincang di kafeteria,” ujarnya tenang.

Ahmad turut meminta ‘masa kecemasan’ daripada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof kerana diganggu oleh Rayer.

Terdahulu, Ahmad berkata sejak GST dilaksanakan pada tahun 2015, ia boleh mengurangkan harga barang dan ia disokong oleh jawapan bertulis Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang mengesahkan bahawa 223 barang turun harga bila GST dilaksanakan.

“Adalah tidak adil jika kerajaan PH menyalahkan kerajaan terdahulu berhubung pendapatan negara yang berkurangan kerana GST.

“Mereka kekurangan hasil kerana tax holiday yang mereka buat. Negara kehilangan RM11 bilion hasil pendapatan kerana tindakan itu. Ini punca kepada ia berlaku, bukan dengan menyalahkan kerajaan terdahulu,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berkata pendapat untuk menutup sekolah tahfiz di negara ini adalah tidak wajar dan memberi tiga cadangan yang seharusnya dibuat oleh kerajaan PH.

“Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN), melahirkan 125 ribu huffaz dan memberi kemahiran hidup yang tertentu melalui Giat MARA kepada anak-anak tahfiz wajar diteruskan,” katanya. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit