Melayu Pendatang: Pemuda UMNO Lapor Polis, Minta Kula Segaran Letak Jawatan

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Pemuda UMNO seluruh negara hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran dan berharap siasatan secara telus dibuat serta diambil tindakan sewajarnya diambil terhadap beliau.

Pada masa masa yang sama menteri berkenaan juga perlu meletakkan jawatan atas dasar kebertanggungjawaban moral yang tinggi, demikian penegasan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sejurus membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, hari ini.

Menurut beliau Pemuda UMNO kecewa dengan kenyataan menteri terbabit yang mendakwa bangsa Melayu adalah pendatang seperti yang dilaporkan dalam akhbar Utusan pada 27 Julai 2018.

“Kita menolak sebarang unsur perkauman. Kami merasa kecewa dengan kenyataan daripada seorang menteri yang seharusnya lebih bertanggungjawab terhadap suasana yang ada dalam negara kerana kita tidak mahu seorang pemimpin daripada kerajaan mencetuskan ketegangan dengan menggunakan perkataan-perkataan yang hakikatnya begitu sensitif kepada masyarakat berbilang kaum di negara kita.

“Kita pernah melihat bagaimana seorang rakyat biasa yang bernama Abdullah Zaid pernah didenda di bawah Akta Hasutan hanya kerana menggambarkan fakta sejarah menggunakan perkataan pendatang bagi kaum Cina.

“Jadi kita tidak mahu seorang menteri dalam konteks ini boleh terlepas begitu sahaja, boleh memainkan sewenang-wenangnya perasaan dan emosi rakyat yang hakikatnya kita hidup 61 tahun dibawah kerajaan BN, UMNO sebagai tunjangnya tidak pernah ada masalah dalam konteks kestabilan ini,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis dibuat.

Tegas Asyraf walaupun Kula Segaran telah memohon maaf atas apa yang berlaku, pernyataan maaf sahaja tidak mencukupi.

“Walaupun beliau meminta maaf dalam kenyataannya semalam tetapi bagi kita pernyataan maaf sahaja tidak cukup. Beliau seharusnya mengambil tanggungjawab meletak jawatan kerana beliau seorang menteri dan harus lebih tinggi kebertanggungjawaban moral.

“Jika beliau tidak mahu meletakkan jawatan kita minta Perdana Menteri agar memecat beliau atas dasar ini adalah unsur-unsur yang boleh menghancurkan kestabilan dan ketenteramanantara kaum.

“Beliau tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh difahami sebagai hasutan dan boleh mencetuskan ketidaktenteraman,” katanya lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.