Maaf Sahaja Tidak Cukup… Kula Digesa Letak Jawatan Sebagai Menteri – Puteri UMNO

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Puteri UMNO mendesak M Kula Segaran melepaskan jawatan sebagai menteri kabinet kerana rakyat tidak mahu seorang pemimpin yang mencetuskan ketegangan dengan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Tegas ketuanya Datuk Zahida Zarik Khan, walaupun pemimpin Dap itu sudah menyatakan pemohonan maaf di media hari ini, tetapi ia tetap tidak dapat meredakan kemarahan rakyat bukan sahaja orang-orang Melayu malah kaum lain turut mengecam tindakan biadap menteri Dap itu.

“Apakah dengan minta maaf sudah cukup? Ibarat seperti luka, walaupun ianya sembuh tapi parut tetap ada.

“Laporan Polis serentak seluruh negara sudahpun dibuat oleh rakan-rakan kami daripada Pemuda UMNO agar perkara ini disiasat oleh pihak berkuasa. Kami mahu tindakan tegas diambil di bawah Akta Hasutan agar keharmonian kaum yang telah dibina selama ini tidak musnah begitu sahaja.

“Apakah ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah mereka boleh melakukan apa sahaja?, tegas Zahida dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Zahida berkata demikian ketika mengulas kenyataan Kula di dalam video yang tular di media sosial yang dilaporkan sebagai berkata;

“Kebanyakan orang telah lupa, orang Hindu mula jejak negara ini 2,500 tahun dulu. Apa buktinya? Sekiranya anda pergi ke Lembah Bujang, kesemua bukti terdapat di sana. Terdapat banyak kuil lama yang ditemui di sana.

“Apabila kitalah yang berada di negara ini terlebih dahulu, maka merekalah (Melayu) yang sebenarnya pendatang. Kita dan Melayu adalah setaraf. Ini tanah air kita.”

Justeru, Puteri UMNO dengan tegas berpendirian kenyataan Kula adalah satu kenyataan biadap yang ekstrim dan bersifat mempertikaikan kedudukan sebenar orang-orang Melayu di Malaysia. – Media UMNO.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit