Jangan Jadikan Rakyat Mangsa Hanya Kerana Perubahan Kerajaan – MP Beaufort

 

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun berharap agar rakyat tidak dijadikan mangsa hanya kerana perubahan kerajaan di peringkat pusat dan negeri.

Jelas beliau, ini adalah kerana rakyat khususnya di luar bandar berasa kecewa apabila projek dan program yang diperlukan oleh rakyat dibatalkan walaupun telah diluluskan oleh kerajaan sebelum ini.

“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk meneruskan projek dan program demi rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak. Saya selaku wakil dari negeri Sabah mengalu-alukan dan menjunjung kasih titah Tuanku yang menyatakan kerajaan akan meneruskan perlaksanaan pelbagai program dan projek agar semua rakyat di negara ini dapat menikmati manfaat termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Ini selari dengan dasar kerajaan agar kehidupan rakyat dipertingkatkan dan kekayaan negara dikongsi secara adil dan saksama namun saya agak kecewa bila banyak projek yang diluluskan oleh kerajaan sebelum ini yang bertujuan membantu rakyat diseluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak telah dibatalkan. Bayangkan betapa hampa rakyat yang masih memerlukan ini semua bila dimaklumkan tentang perkara ini,” ujar beliau dalam ucapan membahas titah Tuanku Yang Dipertuan Agong di Parlimen hari ini.

Azizah turut memohon agar projek dan program yang diperlukan oleh rakyat samada yang telah diluluskan atau dalam proses hendaklah diteruskan agar rakyat di luar bandar khusus di Sabah dan Sarawak dapat menikmati pembangunan yang mereka perlukan.

Selain itu beliau turut membidas sikap Ahli Parlimen yang gemas menggunakan kata-kata kesat ketika berbahas di dalam Dewan Rakyat.

“Mungkinkah ini satu budaya baru, mungkinkah budaya bangsa, tatasusila akan dibuang dan hilang dan hanya tinggal dalam lipatan sejarah Malaysia yang tercinta ini. Para pemimpin negara termasuk Ahli Parlimen Langkawi meminta agar jangan lupa kepada sejarah kerana sejarah mengingatkan kita kepada kesilapan dan kekuatan terdahulu.

“Justeru saya cadangkan supaya Parlimen melihat semula penggunaan kata-kata kesat yang sewenang-wenangnya diucapkan oleh ahli Dewan ini terhadap ahli yang lain.

“Saya mencadangkan peraturan mesyuarat berkenaan perlulah dilihat semula agar tatasusila parlimen ini dihormati dan dipatuhi oleh Ahli Parlimen sekarang dan akan datang supaya sejarah negara ini yang akan dibaca oleh generasi akan datang nanti akan cantik dan membanggakan kita semua walaupun pada masa itu kita sudah tidak ada lagi dunia ini,” tegas beliau. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit