Undi BN Untuk Signal Rakyat Tak Puas Hati Pemerintahan PH – Lokman
SUNGAI KANDIS, 29 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis Datuk Lokman Noor Adam melahirkan harapan agar semua ahli UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang dahulunya protes, kini kembali ke landasan sebenar bagi memberi signal kepada kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) bahawa rakyat tidak berpuas hati dengan pemerintahan mereka.
Jelas beliau, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) telah menyaksikan sikap protes ahli UMNO dan komponen BN yang tidak keluar mengundi ataupun mengundi parti lawan sehingga menyebabkan BN akhirnya tewas.
“Kali ini saya mengharapkan agar mereka mula sedar dan tidak akan lagi melakukan kesalahan yang sama.
“Selain itu saya turut mengharapkan agar masyarakat India dapat memberikan sokongan dan keluar mengundi pada PRK kali ini. Jika PRU-14 yang lalu kita hanya mendapat 25 peratus undi dari kaum ini, kali ini saya berharap akan ada lonjakan sekurang-kurangnya 50 peratus,” jelas beliau kepada media selepas menyertai program ramah mesra bersama masyarakat India di Kampung Mohan Sungai Kandis di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan pada 4 Ogos sebagai hari pengundian bagi PRK Sungai Kandis.
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu.
Mat Shuhaimi dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008 dan mempertahankan kerusi itu pada PRU-13 serta PRU-14 selepas nama DUN itu ditukar kepada Sungai Kandis susulan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
PRK kali ini menyaksikan pertembungan pertembungan tiga penjuru antara BN, PH dan Bebas. – MediaUMNO