Manifesto Perlu Ditunaikan, Bukan Hanya Sebagai Panduan – Khairy

 

SHAH ALAM, 29 Julai – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata manifesto adalah perkara yang perlu ditunaikan dan alasan kononnya terbatas dengan hutang negara yang tinggi adalah sekadar untuk mengaburi perkara yang sebenarnya.

Menurut beliau berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu yang mana bukan sahaja manifesto dilaksanakan sehingga lebih 90 peratus malah menukar manifesto kepada akujanji bagi memperlihatkan komitmen yang sebenarnya dalam melaksanakan janji yang dilontarkan.

“Kita kemukakan akujanji dulu pada PRU-13 tidak anggap sebagai panduan…. Dalam apa jua agama janji itu wajib ditunaikan. Kita tidak boleh memungkiri janji. Sebab itu kita kemukakan manifesto kemudiannya kita tukar kepada akujanji BN.

“Sebelum PRU lepas kita telah kemukakan laporan yang mana lebih 99 peratus janji BN telah ditunaikan. Kita tidak bagi alasan dan kita kerja untuk pastikan bahawa janji ditunaikan sama ada ditunaikan atau dalam perjalanan untuk ditunaikan.

“Namun kerajaan PH belum apa apa lagi sudah keluarkan kenyataan bahawa manifesto itu bukan kitab suci…janji boleh dirunding dan ini hanya panduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di Taman Setia dalam kempen PRK Sungai Kandis, malam tadi.

Khairy seterusnya menambah apa yang diperkatakan oleh PH mengenai hutang negara bukan perkara yang sebenarnya.

“Mereka keluarkan perjalanan cerita naratif kata hari ini negara dilanda hutang negara yang tinggi sampai RM1 trilion. Disebabkan hutang negara inilah tidak dapat dilaksanakan janji terhadap PTPTN…hutang peneroka Felda dan sebagainya. Ini janji besar. Ini janji yang mereka kata 100 hari akan dapat dilaksanakan tetapi sehingga ke hari ini tidak dapat dilaksanakan….

“Saya dah jelaskan di dalam Dewan Rakyat itu sebenarnya tidak betul. Hutang kita bukanlah RM1 trilion. Hutang kita dalam keadaan terkawal. Hutang kita hanya 50 peratus daripada KDNK,” katanya.

Menjelaskannya lagi, Khairy berkata hutang negara mereka longgokkan sekaligus termasuk segala jaminan mahu pun pinjaman agensi kerajaan.

“Hutang kita tidak sampai sejumlah itu. Mereka longgokkan habis… jaminan, pinjaman kerajaan. Katalah agensi kerajaan seperti PTPTN ambil pinjaman kerajaan kena bagi jaminan… mereka ambil semua jaminan kerajaan seumpama itu dan dimasukkan sebagai hutang kerajaan.

“Pembayaran kepada projek-projek pembangunan yang kita gunakan kaedah penswastaan… apa yang kerajaan bayar itu dikira sebagai hutang dan bukan sebagai pembayaran.

“Mereka semua longgokkan dan jadikan satu angka besar untuk menakutkan kita dan memberi alasan supaya mereka tidak melaksanakan janji mereka,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.