Kempen Politik Persepsi Salah Satu Punca BN Kalah PRU 14


SHAH ALAM, 29 Julai – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, kempen politik persepsi yang dimainkan oleh kerajaan ketika menjadi pembangkang, dengan menghasut rakyat untuk membenci kepimpinan Barisan Nasional (BN) merupakan salah satu punca utama kekalahan BN dalam PRU ke 14 yang lepas.

Jelasnya, usaha menghasut rakyat dengan memburuk-burukan pemimpin UMNO dan BN ini dilakukan secara konsisten selama hampir 10 tahun.

“Mereka mendoktrin pemikiran rakyat khususnya anak muda dengan hasutan-hasutan yang mendakwa pemimpin UMNO ini korup, zalim dan sebagainya. Apa saja isu yang berlaku, mereka akan serta merta menyalahkan BN dan perkara ini dilakukan oleh mereka bertahun-tahun lamanya.

“Apabila sesuatu fitnah itu diperkatakan hari-hari sehingga rakyat termakan fitnah dan menganggapnya satu kebenaran, maka terjadilah apa yang kita saksikan pada PRU ke-14, BN akhirnya kehilangan kuasa.

“Saya melihat perubahan kerajaan yang berlaku pada PRU 14 yang lalu merupakan perubahan kepimpinan yang berdasarkan emosi, berbanding rasional dalam memilih sebuah kerajaan untuk mentadbir negara.

“Apabila memilih kerajaan berdasarkan emosi, maka apa yang kita perolehi hanyalah sebuah kerajaan yang hanya tahu menjual harapan, namun tidak melaksanakan segala janji-janji yang diberikan kepada rakyat sebelum mendapat kuasa,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel program Diskusi N49 bertajuk ‘Sindrom Salahkan BN’ yang diadakan secara langsung menerusi medium facebook Media UMNO Malaysia.

Bagaimanapun kata beliau, UMNO tidak menyalahkan rakyat dalam hal ini kerana hasutan dan permainan persepsi yang digunakan oleh pihak kerajaan ketika menjadi pembangkang terlalu dasyat sehingga mempengaruhi pemikiran rakyat.

Sebab itu kata Armand lagi, UMNO hari ini perlu memperkuatkan dan memperkasakan penerangan dan penjelasan isu dengan turun ke bawah mendekati akar umbi, terutama golongan muda agar dapat memberikan penerangan dan penjelasan berhubung isu-isu tersebut.

“Orang muda hari ini sebenarnya dahagakan maklumat dan penerangan. Jadi pada pandangan saya, UMNO perlu turun ke akar umbi untuk menjawab segala persoalan tentang isu-isu yang masih menjadi tanda tanya kepada golongan anak muda.

“Kita harus memberikan jawapan dan fakta untuk mereka memahami isu-isu yang sedang berlegar di sekeliling mereka.

“Kalau kita boleh menjawab persoalan mereka dan memberikan golongan anak muda ini satu keyakinan tentang kebenaran di sebalik isu-isu tersebut, saya yakin kita akan kembali mendapat sokongan anak muda.

“Tapi corak penyampaian kita mesti berbeza. Jangan kita berikan jawapan yang retorik. Kita kena menjawab segala isu-isu tersebut dengan fakta, walaupun ia pahit, tapi kita harus menjawab agar rakyat dapat memahaminya,” ujarnya lagi.-MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit