Kad Laporan PH Mengecewakan, Shahril Ajak Pengundi Sungai Kandis ‘Rotan’ Kerajaan

SHAH ALAM, 29 Julai – Naib Ketua Pemuda UMNO Shahril Hamdan mengajak pengundi di Sungai Kandis untuk ‘merotan’ kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada hari pembuangan undi 4 Ogos nanti dengan mengundi Barisan Nasional (BN) berasaskan kad laporan yang mengecewakan sejurus mengambil alih negara pasca Pilihan Raya Umum yang lalu.

Menurut beliau pencapaian mereka terutama yang melibatkan janji dalam tempoh 100 hari amat mendukacitakan rakyat yang telah memilih PH malah seringkali berubah dengan apa yang dilontarkan sebelum PRU yang lalu.

“Pencapaian prestasi dua bulan setengah memerintah tidak menampakkan apa-apa. Yang nampak adalah kehilangan peluang pekerjaan, PTPTN yang tidak berlaku sepertimana yang dijanjikan…dulu peminjam PTPTN pada zaman BN ‘blacklist’ dikatakan zalim namun hari ini sehingga bankrap…apa lagi yang lain…

“Secara dasarnya kad laporan PH selama dua bulan penuh kelucuan. Tol yang dikatakan mahu dihapuskan tidak ada juga. Biasiswa MyBrain semalam juga ditarik balik yang dicetuskan pada zaman BN dahulu untuk hantar anak-anak kita untuk buat master dan sebagainya…katanya tidak boleh buat biasiswa sebab hutang besar…alasan ‘favorite’ mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada ceramah BN dalam kempen PRK Sungai Kandis, di Taman Setia.

Turut serta Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Senator Datuk Megat Zulkarnain Datuk Omardin.

Meneruskan ucapan Shahril seterusnya menegaskan 4 Ogos ini apa yang penting adalah untuk menghantar isyarat ke Putrajaya.

“Untuk 4 Ogos ini kita minta bukan untuk buang PH tetapi untuk hukum mereka beramai-ramai atas kad laporan yang mengecewakan.

“Hari Ini apa jua keputusan yang berlaku di PRK Sungai Kandis tidak mampu untuk mengubah kuasa di Selangor dan Putrajaya, cuma pilihan kali ini adalah menghantar satu isyarat ke Putrajaya… apakah rakyat berpuas hati dengan apa yang berlaku dalam dua bulan yang lalu,” katanya lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit