Kerajaan PH Sebenarnya Tersepit Dengan Janji Sendiri

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Ahmad Maslan berkata, kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebenarnya sudah semakin tersepit dengan janji-janji manis mereka yang menelan kos besar sehingga menyebabkan mereka terpaksa mencipta alasan untuk mengelakkan dari menunaikan janji.

Jelas beliau, alasan terbaik yang mereka temui adalah dengan menyalahkan kerajaan terdahulu.

“Sebenarnya ia tidak boleh dijadikan alasan. Bila tersepit mereka terpaksa mencari alasan.

“Ini adalah satu perbuatan tidak brtanggungjawab. Sepatutnya apabila mereka mengambil alih negara, mereka harus mengambil alih semua dan jangan sentiasa menyalahkan kerajaan yang sebelumnya,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Ahmad Maslan, kekangan bagi kerajaan baru menunaikan janji adalah kerana mereka kehilangan peruntukan yang besar apabila menghapuskan GST dan menukar kepada SST.

“Bila tidak ada SST dan GST (sebelum SST dilaksanakan) maka mereka kehilangan peruntukan yang banyak dan kedua bila GST ditukar kepada SST sekali lagi peruntukan banyak hilang sedangkan mereka perlukan kewangan untuk menunaikan janji-janji.

“Maka apa yang mereka buat ialah mencari alasan, dan alasan yang terbaik adalah tentang hutang walhal hutang kerajaan sudah dibajetkan pembayarannya setiap tahun.

“Kita memperuntukan 10 hingga 11 peratus untuk membayar hutang tahunan… dalam kata lain sebenarnya hutang negara terkawal, maka tidak ada sebab mereka mahu menggunakan alasan tersebut,” jelas beliau lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit