Kerajaan PH Perlu Berhenti Kelirukan Peminjam PTPTN


KUALA LUMPUR, 25 Julai – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Shahrul Nasrun Kamarudin menempelak kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang terus-terusan mengelirukan peminjam PTPTN.

Jelas beliau, antara janji PH adalah menangguhkan bayaran pinjaman PTPTN untuk golongan berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan dalam masa 100 hari menguasai Putrajaya namun setelah 77 hari berlalu, janji menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN masih tidak jelas dan samar.

“Kenyataan Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, 18 Julai lalu mengakui setakat ini tiada maklumat lengkap mengenai jumlah peminjam yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan.

“Berdasarkan bayaran balik pinjaman yang dikutip oleh PTPTN setakat Mei 2018, jelas menunjukkan kegagalan PTPTN mengenal pasti peminjam berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan.

“Kini berbaki sebulan sebelum genap 100 hari PH menerajui Kerajaan, saya yakin janji populis menangguhkan bayaran pinjaman PTPTN tidak mampu ditunaikan oleh Kerajaan,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Shahrul, setakat hari ini, kerajaan PH hanya boleh ‘mendabik dada’ dengan kejayaan mengeluarkan 429,945 peminjam dari senarai hitam pihak Jabatan Imigresen.

“Disebabkan janji populis, hasil kutipan bayaran balik pinjaman PTPTN berkurangan berbanding sebelum ini. Ia bakal memberi kesan kepada golongan mahasiswa yang memerlukan pinjaman PTPTN untuk melanjutkan pengajian selepas ini.

“Kementerian Pendidikan melalui PTPTN perlu bijak memainkan peranan dalam menggalakkan peminjam membuat bayaran pinjaman waima serendah RM50 sebulan bukannya bertindak menangguhkan mereka daripada membuat bayaran balik pinjaman.

“Justeru, Kementerian Pendidikan dan Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan diminta berhenti memberi alasan dan bersikap ‘flip-flop’ mengenai janji PH untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN bagi golongan yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan kerana ia hanya mengelirukan para peminjam,” tegas beliau.

Untuk rekod, ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), PTPTN mengutip RM400 juta bayaran balik pinjaman berbanding RM245 juta setakat Mei tahun ini. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit