Polisi Ekonomi Negara PH Tidak Ada Arah Hala Tuju Jelas – Lokman

SHAH ALAM, 23 Julai – Polisi ekonomi negara hari ini dilihat tidak mempunyai arah hala tuju yang jelas sejurus kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih daripada kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) pasca Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Calon BN Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam berkata mereka bercakap seolah-olah tidak mempunyai fakta yang jelas serta data-data tidak menentu menyebabkan rakyat mula sangsi dengan keupayaan kerajaan baru hari ini.

Menurut beliau apa yang diharapkan oleh pengundi pada pilihan raya umum yang lalu tentunya mahukan kerajaan ini lebih baik daripada kerajaan sebelum ini namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Saya tidak nampak polisi ekonomi PH. Mereka bercakap seolah-olah tidak berdasarkan fakta dengan data yang seakan dikutip daripada longkang. Jadi ianya menyebabkan pelabur tidak ada keyakinan kepada kerajaan yang ada hari ini.

“Baru-baru ini direka fitnah hutang negara sampai RM1 trilion sedangkan hutang kita lebih kurang RM720 bilion, tetapi mereka terpaksa membuat sandiwara mahu menampakkan mereka seolah-olah mewarisi sebuah kerajaan yang teruk….banyak hutang dan sebagainya supaya mereka tidak perlu menunaikan janji.

“Jadi nampak gayanya rakyat tidak boleh terima. Apatah lagi rezab negara tertinggi dalam sejarah RM438 bilion… lebihan tunai akaun semasa RM15 bilion paling tinggi dalam sejarah. BSKL pun tertinggi dalam sejarah namun hari ini tinggal berapa sahaja. Kedudukan mata wang begitu juga.

“Rakyat mengharapkan harga–harga barang akan turun tetapi malangnya yang turun harga tomato…, malangnya yang turun BSKL…, malangnya yang turun ialah nilai ringgit…, malangnya yang turun nilai saham-saham,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu beliau mengadakan ‘walkabout’ sekitar Bukit Naga dan Seri Segambut dalam kempennya yang masuk hari ketiga hari ini.

Lokman seterusnya menambah banyak teguran daripada pembangkang termasuklah di DUN Selangor bukanlah teguran yang menghancurkan sebaliknya untuk kepentingan rakyat.

“Banyak benda yang kita boleh nasihat kerajaan negeri dan bukan sekadar teguran semata-mata. Bukanlah teguran yang menghancurkan sebaliknya teguran yang membina supaya bila mereka membuat penambahbaikan demi kepentingan rakyat.

“Kita tidak mahu membangkang membuta tuli sebaliknya pembangkang yang membina dan akhirnya ianya akan dimanfaatkan untuk kepentingan semua,” katanya lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.