Suara Rakyat Jadi Keutamaan Untuk Diketengahkan BN – Mohammad

SHAH ALAM, 21 Julai – Suara rakyat akan diangkat jadi keutamaan untuk diketengahkan oleh Barisan Nasional (BN) dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, kata Pengarah PRK BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, khabarnya rakyat dalam keadaan gelisah maka elok kita ukur sejauh mana kegelisahan itu melalui PRK ini.

“PRK ini akan jadi suara rakyat. Rakyat perlu terjemahkan kegelisahan mereka, terjemahkan apa kekesalan mereka,” katanya kepada UMNO-Online selepas penamaan calon di Dewan MBSA, hari ini.

Berkaitan calon BN, beliau melahirkan keyakinan Datuk Lokman Noor Adam akan memberikan impak positif kepada BN.

“Lokman bukan lantang sejak kebelakangan ini sahaja tapi dia memang seorang pejuang sejak zaman reformasi dan ini merupakan calon yang sangat sesuai kerana banyak isu-isu yang sedang diperkatakan.

“Jadi sebagai seorang yang sudah biasa dengan keadaan dan juga cara begini maka tentunya calon ini mampu membawa suara rakyat,” katanya yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Jelasnya, BN mengharapkan dapat memberi suara rakyat dengan tambahan dalam DUN Selangor.

“Terlalu banyak kerajaan pun tak boleh juga kerana tak ada check and balance.

“Keputusan ini boleh membawa suara rakyat kerana calon BN boleh mengupas isu-isu semasa, bercakap dan berbahas,” katanya lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit