Projek ECRL Digantung, Pekerja Diberhentikan…Inikah Kerajaan Adil – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 21 Julai – UMNO kesal dan amat bimbang dengan laporan mengenai kira-kira 1,000 pekerja ECRL diberhentikan berikutan tindakan kerajaan menggantung statusnya pada 3 Julai lalu, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sambil meminta pekerja terbabit bersabar, beliau menyifatkan langkah kerajaan berdolak-dalik mengenai projek itu sebagai tidak profesional.

“Tindakan menabur pasir ke dalam periuk 1,000 pekerja itu, yang 70 peratus daripadanya adalah rakyat Malaysia, kerajaan turut menutup ruang penduduk setempat di sepanjang laluan projek itu untuk menambah pendapatan seringgit dua,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Soal beliau, inikah kerajaan ‘adil dan berperikemanusiaan’ yang dilaung-laungkan selama ini?

“Langkah mengkaji semula kos ECRL memang harus dipuji tetapi isu kemanusiaan di dalam perkara ini perlu diberi perhatian, termasuk nasib pekerja asing yang hilang kerja dan pendapatan untuk terus hidup di negara ini.”

Gesanya yang juga Ahli Parlimen Bera, demi kebajikan pekerja ECRL terbabit, UMNO berharap rundingan dengan kerajaan China bagi ‘mengecilkan’ projek itu serta kosnya, akan tercapai secepat mungkin, demi membolehkan mereka diserap semula.

“Mengapakah kerajaan tidak sedikit pun bersimpati, kepada nasib 1,000 pekerja ECRL ini, malah puluhan ribu lagi yang kehilangan kerja, sama ada dipecat dan diberhentikan oleh kerajaan.”

Ujarnya, pembinaan ECRL juga amat dinanti-nantikan oleh penduduk Pantai Timur kerana ECRL dijangka akan dapat mengurangkan jurang pembangunan di antara Pantai Timur dan Pantai Barat yang mana pantai barat jauh lebih maju dari Pantai Timur.

“ECRL pastinya juga akan membangunkan bandar-bandar kecil yang mempunyai stesyen persinggahan.

“Sebagai contoh di Temerloh di mana ramai yang akan berulang-alik bekerja di Kuala Lumpur atau Kuantan kerana jangkamasa yang singkat menggunakan ECRL dan tentu kesannya sektor perumahan akan berkembang dan tanah penduduk luar bandar akan meningkat nilainya.

“ECRL juga akan merubah keadaan pengangkutan awam atau public transport di Pantai Timur.”

Terangnya, jika ketika ini hanya ada bas ekspres, maka dengan adanya ECRL, ia akan menjadi medium pengangkutan terbaik kepada penduduk Pantai Timur terutamanya di Kelantan.

“Jika sewaktu hari raya untuk sampai ke kelantan memakan masa 12 – 15 jam maka dgn ECRL hanya tiga setengah jam sahaja.

“UMNO berharap jangan hukum rakyat di Pahang, Terengganu dan Kelantan hanya semata-mata mereka memilih pembangkang. Jangan mangsakan 1,000 pekerja dan keluarga mereka.”

Dalam hal ini beliau memetik laporan Channel News Asia yang berpangkalan di Singapura, kesan penggantungan projek itu sudah pun dirasai oleh pekerja terbabit.

Difahamkan, China Communications Construction Company yang menjadi kontraktor utama projek ini, sudah pun menghantar pulang tenaga kerja separa profesional dan profesionalnya pulang bagi menjimatkan kos.

Projek bernilai RM94.5 bilion itu kini dalam proses ‘tawar-menawar semula’ dengan China, dan diharap tidak dibatalkan terus seperti projek keretapi laju Kuala Lumpur dan Singapura (HSR).

Dalam kes HSR, Singapura memberi tempoh sehingga 31 Julai bagi Malaysia menyediakan laporan secara bertulis mengenai pembatalannya.

“Pertanyaan kepada Lim Guan Eng, apakah kita akan membayar balik kos yang sudah disediakan oleh republik itu, dan berapakah jumlahnya?” bidasnya lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit